Header Ads

test

ANAK SEMAKIN PULIH SELEPAS KEMALANGAN, MASIH JALANI RAWATAN SUSULAN - SANUSI

 

Roslinda Hashim
KULIM - Anak perempuan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang terbabit dalam kemalangan motosikal pada 12 November lalu semakin pulih dan kini dibenarkan keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Beliau memaklumkan, anak ketiganya itu masih memerlukan rawatan susulan termasuk memakai pendakap tulang belakang serta pendakap pada tangan.
"Anak saya makin sihat, buat masa ini anak pakai pendakap tulang belakang, di tangan juga. Hari ini buka jahitan dalam mulut dan baiki gigi yang terkesan akibat kemalangan itu.
"Dia perlu jalani rawatan susulan. Jururawat akan datang ke rumah tiga kali seminggu untuk membersihkan dan merawat luka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026 di Taman Tasik Putra, di sini, hari ini.
Anak perempuan Sanusi sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan pada muka dan kepala termasuk patah empat jari serta tulang rusuk selepas terbabit dalam kemalangan motosikal berhampiran Kampung Alor Setol.
Mangsa sebelum ini dirawat di ICU HSB selama beberapa hari bagi membolehkan doktor memantau keadaannya dan menjalankan pemeriksaan lanjut bagi mengesan kemungkinan kecederaan dalaman.
Anaknya yang juga pelajar tahfiz sedang mengikuti program pembelajaran secara ‘fast track’ bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kolej Islam Darul Ulum (KIDU), Pokok Sena.
Bagaimanapun, akibat kecederaan dialami, khususnya pada tangan kanan, mangsa dijangka tidak dapat menduduki peperiksaan SPM yang bermula 23 November ini.

Tiada ulasan