E-SUKAN PLATFORM DEKATI ANAK MUDA, MASJID AL BUKHARY BAWA PENDEKATAN DIGITAL
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Penganjuran pertandingan e-sukan adalah satu pendekatan positif dalam menjadikan masjid sebagai institusi yang dekat dengan anak muda, selain tidak terhad kepada aktiviti keagamaan, tetapi turut merangkumi pembangunan komuniti dan pembinaan sahsiah.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan, Muhammad Radhi Md Din berkata, peserta diingatkan supaya menjadikan permainan digital sebagai aktiviti yang terkawal dan tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap pelajaran, ibu bapa serta tuntutan agama hanya kerana terlalu leka bermain
"E-sukan mempunyai potensi besar sebagai bidang yang memerlukan kemahiran, strategi, disiplin, fokus dan kerjasama berpasukan, namun setiap minat perlu disertai dengan pengurusan masa serta kawalan diri yang baik," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan E-Sukan Mobile Legends: Bang Bang & E-Football Fifa Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Masjid Al- Bukhary, di sini.
Menurut Muhammad Radhi, pertandingan e-sukan Mobile Legends: Bang Bang dan e-Football FIFA mampu menjadi platform mendekati golongan muda menerusi aktiviti digital yang bersesuaian dengan minat serta perkembangan teknologi masa kini.
Jelasnya, penganjuran pertandingan sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Masjid Al Bukhary itu bukan sekadar memberi ruang kepada peserta mengembangkan bakat dalam permainan digital, malah menjadi pendekatan menarik golongan muda untuk berkumpul, bergaul dan menyertai aktiviti komuniti dalam suasana positif.
“Perkembangan permainan digital, media sosial dan e-sukan yang menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi muda hari ini perlu difahami dan didekati melalui pendekatan bersesuaian, bukannya hanya dilihat dari sudut negatif.
“Masjid juga perlu memainkan peranan lebih luas dengan menyediakan ruang kepada golongan muda untuk mengembangkan bakat, melakukan aktiviti diminati serta membina hubungan sosial dalam persekitaran yang baik,” ujarnya.
Tambahnya lagi, golongan muda turut dinasihatkan supaya mengamalkan sikap matang ketika berhadapan kemenangan dan kekalahan, menghormati pihak lawan serta tidak menjadikan persaingan sebagai alasan untuk bermusuhan, mengeluarkan kata-kata kesat atau menghina orang lain.
Beliau turut mengingatkan anak muda supaya menjauhi perjudian, pertaruhan dalam permainan, penipuan dan aktiviti yang menjanjikan keuntungan mudah kerana boleh menjejaskan masa depan mereka.
Post a Comment