MAHASISWA PERLU TAMPIL SEBAGAI PENERAJU THE GREATER KEDAH
ALOR SETAR - Anak Kedah khususnya golongan mahasiswa perlu tampil sebagai penggerak utama pembangunan negeri dengan mempersiapkan diri sebagai pelapis kepimpinan yang berilmu, berani dan memiliki pemikiran kritis.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, Kedah memerlukan generasi pemimpin muda yang mempunyai iltizam, kemampuan serta kualiti untuk membawa negeri itu mencapai kejayaan tanpa terlalu bergantung kepada pihak luar.
Menurutnya, mahasiswa perlu memanfaatkan peluang yang ada untuk mengasah kemampuan kepimpinan, selain berani mengemukakan pandangan secara matang dan konstruktif demi kepentingan negeri.
"Pemikiran kritis oleh mahasiswa amat dialu-alukan, namun ia perlu disampaikan secara berhemah dan membina, bukannya melalui hujah bersifat destruktif yang boleh menjejaskan imej generasi pemimpin masa depan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Mahasiswa Darul Aman 2026 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Haim Hilman berkata, mahasiswa yang menyertai persidangan itu perlu menggunakan platform berkenaan untuk menyampaikan buah fikiran dan pandangan secara konstruktif, selain mempamerkan profesionalisme, kematangan serta nilai kepimpinan.
Katanya, golongan mahasiswa juga perlu memahami sejarah dan kehebatan Kedah sebagai sumber kekuatan untuk membina masa depan negeri, termasuk mengambil inspirasi daripada sejarah Kerajaan Kedah Tua serta perjuangan generasi terdahulu.
"Mahasiswa hari ini merupakan barisan pemimpin yang sedang digilap dan diharapkan mampu meneruskan perjuangan membangunkan Kedah, mempertahankan negeri serta membawa perubahan lebih baik kepada rakyat," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, gagasan The Greater Kedah merupakan perancangan pembangunan jangka panjang negeri sehingga 2125, dengan fasa pertama memberi tumpuan kepada tempoh sehingga 2050.
Jelasnya, gagasan itu dirangka bagi membentuk hala tuju pembangunan yang melangkaui kepentingan politik dan keuntungan jangka pendek, sebaliknya memerlukan komitmen, pengorbanan serta usaha berterusan seluruh rakyat berdasarkan kekuatan dan sumber yang dimiliki negeri.
"Kejayaan pembangunan sesebuah negeri dan bangsa tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya memerlukan perancangan rapi, kesungguhan pemimpin, keikhlasan penjawat yang diberi amanah serta usaha berterusan dalam membina kekuatan ekonomi dan pendidikan.
"Mahasiswa perlu memiliki kesedaran terhadap cabaran sebenar yang dihadapi negeri dan tidak mudah terpengaruh dengan harapan palsu, sebaliknya membina masa depan berpandukan realiti, ilmu serta perancangan yang jelas," katanya.
Post a Comment