BAJET KEDAH 2027: SASAR KEDAH SEBAGAI NEGERI BERPENDAPATAN TINGGI
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri komited untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi, berdaya saing dan mampu menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
Menurut Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, antara tumpuan utama ialah memperkasa zon pelaburan strategik negeri termasuk Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (SBEZ), Kedah Rubber City (KRC), kawasan perindustrian Gurun dan Sungai Petani serta Kulim Industrial Corridor yang merangkumi Kulim Hi-Tech Park hingga ke kawasan industri Padang Meha.
“Bagi meningkatkan daya tarikan pelaburan, Invest Kedah diberi kepercayaan menerajui usaha promosi pelaburan menerusi misi pelaburan dan penubuhan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Negeri Kedah (PEMUDAH Kedah) dengan peruntukan sebanyak RM2.6 juta,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pembentangan Bajet Kedah 2027 di Wisma Darul Aman, hari ini.
Katanya, inisiatif itu bertujuan memperkukuh ekosistem pelaburan yang lebih telus dan mesra pelabur, khususnya melalui usaha mempercepatkan proses kelulusan serta menangani isu birokrasi dalam kalangan agensi kerajaan.
Jelas beliau, pembangunan Kedah Aerotropolis turut diberi perhatian sebagai pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi negeri menerusi tiga komponen utama iaitu Airport City, Business Park dan Sidam Logistics & Advanced Manufacturing Hub (SLAM).
Muhammad Sanusi berkata, Kerajaan Negeri turut mensasarkan Daerah Bandar Baharu sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baru di gerbang Kedah Selatan.
“Oleh itu, Kajian Strategik Pembangunan Industri Bandar Baharu sedang dilaksanakan oleh Kulim Technology Park Corporation (KTPC) Sdn. Bhd. Yang melibatkan kawasan seluas 663 ekar di Mukim Bagan Samak,” ujar beliau.

Post a Comment