JANGAN BIARKAN MELAYU JADI MANGSA PEMBANGUNAN BANDAR - SANUSI
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Orang Melayu, khususnya golongan peneroka bandar, tidak seharusnya menjadi mangsa pembangunan sehingga tersisih daripada kawasan yang pernah diteroka dan didiami keluarga mereka sejak turun-temurun.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembangunan pesat bandar tidak sepatutnya menyebabkan masyarakat asal kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berpindah apabila nilai hartanah meningkat serta kawasan berkenaan dibangunkan menjadi pusat komersial dan kediaman mewah.
Menurut beliau, nasib golongan itu perlu diberikan perhatian dalam setiap perancangan pembangunan supaya kemajuan yang dikecapi tidak hanya diukur berdasarkan nilai hartanah, angka pelaburan dan bangunan pencakar langit, sebaliknya turut mengambil kira kesejahteraan penduduk asal.
“Orang Melayu di bandar tidak boleh dibiarkan menjadi mangsa pembangunan, apatah lagi sehingga mereka tersisih di tengah-tengah kemajuan.
“Saya mahu apa berlaku di bandar-bandar besar dijadikan iktibar. Jangan kita menerima segala-galanya atas alasan terpaksa, kononnya itulah harga yang perlu dibayar untuk pembangunan dan kemajuan.
“Jangan terlalu ghairah mengejar kemajuan sehingga terlupa di sebalik kawasan dibangunkan, ada manusia yang mempunyai sejarah, kehidupan, keluarga dan masa depan yang perlu dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Kedah 2027 bertemakan ‘The Greater Kedah: Mensejahterakan Rakyat’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Sanusi berkata, nasib peneroka awal bandar perlu dijadikan perhatian, antaranya Kuala Lumpur yang menyaksikan penempatan Melayu terdahulu semakin terhakis akibat arus pembangunan.
Beliau memberikan contoh tokoh Melayu, Abdullah Hukum yang terlibat dalam penerokaan dan pembangunan awal Kuala Lumpur apabila membuka tanah di kawasan yang kini dikenali Bukit Bintang, Bukit Nanas dan Bangsar.
Malah, Kampung Haji Abdullah Hukum di Bangsar yang masih wujud sehingga awal 1990-an kini sudah hilang daripada peta selepas kawasan berkenaan dibangunkan menjadi pusat komersial Mid Valley.
“Situasi sama perlu diberikan perhatian di bandar seperti Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru dan Kuantan yang mempunyai sejarah penempatan serta kegiatan ekonomi masyarakat Melayu sebelum kedatangan British.
“Peningkatan harga hartanah menyebabkan kebanyakan keluarga Melayu tidak lagi mampu memiliki rumah di kawasan bandar, khususnya apabila harga kediaman cecah jutaan ringgit.
“Ada keluarga berpuluh tahun tinggal di atas tanah dibuka datuk nenek mereka, kini menjadi milik pihak lain. Apabila pembangunan sampai ke kawasan tersebut, mereka terpaksa berpindah keluar.
“Saya tidak mengatakan mereka berhak melanggar undang-undang. Hak pemilik tanah mesti dihormati dan undang-undang mesti dipatuhi. Tetapi kita tidak boleh biarkan nasib golongan ini terus dibiarkan tenggelam di sebalik angka pelaburan, nilai hartanah dan alasan pembangunan tanpa sebarang pembelaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli politik serta pegawai kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan supaya memastikan golongan miskin, khususnya peneroka bandar dan waris mereka, terus mendapat tempat serta pembelaan dalam agenda pembangunan.
Sanusi turut menggesa Kerajaan Persekutuan menghidupkan semula semangat dan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memperkukuh kedudukan ekonomi orang Melayu yang menurutnya semakin terpinggir daripada keutamaan dasar ekonomi negara.
Beliau turut menyarankan supaya agenda memperkasa ekonomi Melayu melalui agensi seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Perhatian lebih adil dan seimbang perlu diberikan kepada negeri yang mempunyai populasi Melayu tinggi seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, khususnya dari segi agihan peruntukan, peluang pembangunan, pelaburan serta kemudahan ekonomi.
“Apabila hampir semua bandar utama tertumpu kepada satu kelompok etnik tertentu yang memegang kuasa ekonomi, ini berpotensi mewujudkan ketidakseimbangan pola penempatan penduduk, pemilikan kekayaan dan taburan kuasa ekonomi.
“Jika tidak ditangani melalui dasar pembangunan yang adil dan inklusif, ketidakseimbangan itu boleh mempengaruhi pola kependudukan, komposisi pengundi serta landskap demografi politik negara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha memelihara kebajikan orang Melayu tidak bermaksud menafikan hak kaum lain, sebaliknya pembangunan negara perlu dilaksanakan secara adil dan inklusif berlandaskan Perlembagaan serta undang-undang.
“Kita tidak mahu orang Melayu berasa tersisih di tanah air sendiri. Kita juga tidak mahu kaum lain berasa mereka tidak mempunyai tempat dalam negara ini.
“Di Kedah, meskipun berhadapan keterbatasan bidang kuasa dan sumber kewangan, kita memberi jaminan bahawa tidak akan ada mana-mana kaum yang dipinggirkan atau berasa diri mereka terpinggir,” katanya.
Beliau berkata, komitmen itu selaras dengan dasar teras pentadbiran negeri, ‘Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua’ yang dipegang sejak lebih enam tahun lalu.

Post a Comment