KOTA AUR, BELANTEK BERPOTENSI JADI PINTU SEMPADAN BAHARU MALAYSIA-THAILAND
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan pembukaan pintu sempadan baharu Malaysia-Thailand yang menghubungkan Kota Aur, Belantek dengan sebuah perkampungan Melayu di Yala, Thailand.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, cadangan itu mempunyai asas yang kukuh bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan, budaya selain merancakkan sektor pelancongan di kedua-dua negara.
Menurutnya, ia berikutan wujudnya pertalian saudara-mara antara penduduk Melayu di kedua-dua kawasan sempadan sejak sekian lama.
Tambah beliau, cadangan berkenaan pernah dikemukakan seorang ahli politik kanan Thailand berketurunan Melayu yang juga Speaker Parlimen Thailand dari Yala ketika mengadakan pertemuan dengannya.
"Beliau cadangkan supaya pintu sempadan baharu dibuka di sebuah kampung di Yala yang bertentangan dengan Kota Aur, Belantek dengan jarak kira-kira 30 kilometer.
"Saya beri maklum balas positif dan cadangkan supaya beliau berjumpa wakil Kerajaan Persekutuan kerana pembukaan pintu sempadan bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.
"Selepas itu, beliau datang semula berjumpa saya dan memaklumkan sudah berbincang dengan pihak kerajaan Thailand serta Malaysia. Saya beri sokongan penuh kerana lokasi itu memang sesuai," katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurut Sanusi, antara keistimewaan lokasi berkenaan ialah hubungan kekeluargaan yang masih wujud antara masyarakat Sik dan Yala apabila terdapat penduduk di kedua-dua kawasan mempunyai pertalian adik-beradik.
Katanya, pembukaan pintu sempadan itu juga berpotensi mewujudkan laluan yang menemukan perkampungan Melayu di kedua-dua negara, berbeza dengan beberapa pintu masuk sedia ada seperti Bukit Kayu Hitam-Danok dan Padang Besar.
“Sik dengan Yala ada pertautan budaya, saudara-mara, ada adik-beradik orang Sik di Yala, adik-beradik orang Yala di Sik.
"Kalau masuk melalui Bukit Kayu Hitam, kita akan bertemu Danok yang bukan perkampungan Melayu. Begitu juga di Padang Besar dan Padang Terap.
"Kita harap pintu sempadan baharu ini dapat menghubungkan kampung Melayu di kedua-dua belah sempadan supaya masyarakat Thailand yang datang ke sini juga dapat bertemu komuniti Melayu," katanya.
Tambah beliau, kawasan sekitar Kota Aur turut berpotensi besar dibangunkan sebagai destinasi pelancongan berikutan kedudukannya berhampiran Empangan Muda dan Tasik Pedu.
Katanya, pembangunan bandar pelancongan di kawasan itu boleh menjadi antara manfaat jangka panjang sekiranya cadangan pembukaan pintu sempadan berkenaan direalisasikan.
Bagaimanapun, Sanusi berkata, beliau tidak mengetahui perkembangan terkini perbincangan antara pihak Thailand dengan Kerajaan Persekutuan dan berharap cadangan itu dapat menjadi kenyataan.
“Saya tak pasti sejauh mana perbincangan antara Thailand dan Kerajaan Persekutuan. Jika wakil Persekutuan tanya, saya akan sokong,” katanya.
Sebelum itu, ketika sesi penggulungan, Sanusi tegaskan, pembukaan pintu sempadan negara merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, selain memerlukan penelitian menyeluruh terhadap potensi serta kemudahan di kedua-dua kawasan sempadan, termasuk peluang menjana ekonomi dan pelancongan.
“Untuk buka pintu masuk negara, perlu teliti apa ada di kedua-dua kawasan sempadan, ia perlu diambil kira. Contohnya, ada kawasan tasik yang cantik sesuai untuk jana sektor pelancongan dan sebagainya,” katanya.
Post a Comment