KEDAH RAIH TUJUH PENGIKTIRAFAN TOURISM INDUSTRY AWARDS 2026
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Kedah melakar pencapaian membanggakan apabila menerima tujuh pengiktirafan dalam Tourism Industry Awards 2026 buat julung-julung kalinya, sekali gus mengiktiraf perkembangan sektor pelancongan negeri merangkumi destinasi, makanan, budaya, warisan, inovasi dan usaha komuniti.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato' Mohd Salleh Saidin berkata, pengiktirafan itu mencerminkan perkembangan positif industri pelancongan Kedah hasil usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam mempergiat promosi, menganjurkan pelbagai acara serta memperkukuh produk dan tarikan pelancongan.
"Pencapaian berkenaan turut didukung oleh prestasi sektor pelancongan negeri sepanjang Tahun Melawat Kedah 2025 yang merekodkan kedatangan 9.2 juta pelancong.
"Dalam tempoh sama, terimaan pelancongan domestik meningkat daripada RM4.96 bilion pada 2024 kepada RM5.5 bilion pada 2025, manakala kadar purata penghunian penginapan berbayar turut meningkat daripada 46.6 peratus kepada 50.9 peratus," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Jelasnya, perkembangan itu menunjukkan usaha memperkukuh sektor pelancongan bukan sahaja memberi tumpuan kepada peningkatan jumlah kedatangan pengunjung, malah turut merangkumi pembangunan produk, pengiktirafan identiti tempatan dan penglibatan komuniti.
Menurut Muhammad Salleh, antara perkembangan yang turut mengangkat nama Kedah di persada antarabangsa ialah penganjuran perlumbaan bot laju bertaraf dunia bagi kelas F3000 dan T750 di Sungai Kedah, baru-baru ini, membabitkan pasukan serta pelumba dari 10 negara.
"Penganjuran berkenaan membuktikan keupayaan Kedah membangunkan acara berskala antarabangsa yang mampu menarik pengunjung serta memperkukuh kedudukan negeri dalam kalendar pelancongan dan sukan dunia.
"Dalam masa sama, kerajaan negeri memberi perhatian terhadap usaha memastikan masyarakat tempatan, khususnya orang Melayu di Langkawi, turut menikmati manfaat daripada perkembangan sektor pelancongan melalui peluang pekerjaan, perniagaan dan perkhidmatan sokongan," katanya.
Tambahnya lagi, usaha memperluas penyertaan masyarakat tempatan dalam rantaian ekonomi pelancongan akan terus dipertingkatkan supaya mereka bukan sahaja menjadi tenaga kerja, malah berpeluang muncul sebagai pengusaha dan pemilik perniagaan.

Post a Comment