Header Ads

test

PELABURAN RM194.8 BILION, 64,000 PELUANG PEKERJAAN PACU EKONOMI KEDAH

Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Kedah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM194.8 bilion dalam tempoh 2020 hingga Jun 2026, sekali gus menyediakan 64,000 peluang pekerjaan menerusi pelaksanaan agenda pembangunan The Greater Kedah 2050 (TGK 2050).

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pencapaian itu membuktikan pelaksanaan agenda pembangunan negeri sudah bergerak daripada peringkat perancangan kepada hasil yang boleh dilihat dan diukur.

Katanya, prospek ekonomi Kedah pada 2027 dijangka kekal positif berdasarkan perkembangan ekonomi negara serta potensi pelaburan dan pembangunan strategik, meskipun masih tertakluk kepada perkembangan global dan keupayaan melaksanakan projek yang dirancang.

“Bagi sektor pembuatan, ia dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri menerusi industri elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, pembuatan berteknologi tinggi serta pengembangan rantaian bekalan tempatan.

“Kedudukan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (SBEZ) perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menarik pelaburan berkualiti serta mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Kedah 2027 bertemakan ‘The Greater Kedah: Mensejahterakan Rakyat’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Menurut Sanusi, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan kawasan perindustrian Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap dan Kedah Science & Technology Park (KSTP) di Kubang Pasu.

Katanya, KRC mencatat sejarah baharu apabila kilang Prinx Tire (Malaysia) berjaya menghasilkan produk pertamanya pada 9 Oktober lalu, sekali gus meletakkan Padang Terap sebagai hab perindustrian yang berupaya bersaing di peringkat antarabangsa.

“Pencapaian ini turut memperkukuh ekosistem industri yang boleh diperluas ke daerah lain berdasarkan potensi masing-masing,” katanya.

Dalam sektor pertanian, katanya, tumpuan diberikan kepada peningkatan produktiviti padi, pengukuhan sistem pengairan, penggunaan mekanisasi dan teknologi pertanian serta penglibatan golongan muda dalam sektor agromakanan.

Langkah itu bertujuan meningkatkan pendapatan pesawah selain memperkukuh daya saing sektor pertanian negeri.

Bagi sektor perkhidmatan dan pelancongan pula, Langkawi akan terus diperkasakan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa berasaskan keunikan warisan, budaya dan kepelbagaian alam semula jadi yang mendapat pengiktirafan UNESCO Global Geopark.

“Sektor pelancongan negeri merekodkan kehadiran 9.3 juta pelancong sepanjang tahun lalu.

“Kerajaan Negeri akan terus menjadikan TGK 2050 sebagai kerangka utama pembangunan Kedah bagi membentuk sebuah negeri yang sejahtera, berdaya huni dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Tambah beliau, hala tuju pembangunan bukan sekadar mengejar pertumbuhan ekonomi, sebaliknya memastikan limpahan pembangunan diterjemahkan kepada kewujudan pekerjaan bernilai tinggi, peningkatan pendapatan isi rumah, pengukuhan kemudahan asas serta perlindungan kesejahteraan rakyat.

“Pembangunan infrastruktur terus diberi perhatian menerusi penyenggaraan jalan, pembangunan loji rawatan air dan pelaksanaan projek tebatan banjir.

“Pendekatan pembangunan berteraskan rakyat turut diteruskan melalui program Beras Sejahtera, iKafalah, bantuan pendidikan serta inisiatif pembaikan rumah dan kesihatan bagi membantu golongan sasar,” katanya.

Tiada ulasan