KEDAH AKAN TERUS PERJUANGKAN HAK
“TUNTUT INSENTIF KEKALKAN SAWAH PADI, NILAI PAJAKAN PULAU PINANG”
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menuntut insentif fiskal RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai pampasan terhadap pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan tanaman padi bagi menjamin bekalan beras negara.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tuntutan itu mengambil kira tanggungjawab Kedah mengekalkan status sebagai negeri Jelapang Padi yang menyumbang kira-kira 40 peratus daripada pengeluaran beras negara.
Katanya, dasar berkenaan menyebabkan Kedah terpaksa mengorbankan potensi pembangunan kawasan sawah padi yang berpotensi dimajukan sebagai kawasan industri, perumahan dan komersial.
“Kerajaan Negeri gesa agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan tuntutan insentif fiskal berjumlah RM200 juta setiap tahun bagi pengekalan kawasan tanaman padi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Kedah 2027 bertemakan ‘The Greater Kedah: Mensejahterakan Rakyat’ pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Sanusi berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus memperjuangkan hak Kedah dalam beberapa isu berkaitan kepentingan negeri termasuk tuntutan menyemak semula kadar pajakan Pulau Pinang mengikut nilai semasa.
Menurutnya, tuntutan itu bukan bersandarkan nilai sejarah semata-mata, sebaliknya mempunyai asas perundangan kukuh berdasarkan kajian firma guaman yang dilantik Kerajaan Negeri serta kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Kedah juga akan mempertahankan hak dan kepentingannya dalam isu tuntutan Caj Lembangan Sungai Muda, khususnya berkaitan penggunaan sumber air yang turut memberi manfaat kepada Pulau Pinang.
“Sebarang tuntutan berkaitan sumber air negeri itu akan dilaksanakan secara teratur, berasaskan fakta dan mengikut saluran undang-undang sewajarnya,” katanya.
Sanusi tegaskan, Kedah menuntut pembahagian hasil yang lebih adil daripada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan keperluan pembangunan serta kesejahteraan rakyat negeri itu diberikan pertimbangan sewajarnya.
“Kita tidak menuntut Kedah diberikan keistimewaan tanpa asas munasabah. Sebaliknya, hak rakyat negeri ini perlu diberikan pertimbangan sewajarnya, selaras dengan sumbangan dan pengorbanan besar kita dalam menyokong ekonomi negara,” katanya.
Tambah beliau, keterbatasan sumber hasil perlu difahami dalam konteks sistem federalisme apabila hampir keseluruhan kutipan cukai berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Katanya, sumber hasil negeri pula terhad kepada beberapa jenis cukai termasuk cukai tanah, cukai hasil hutan (SES) dan cukai hiburan.
Justeru, katanya, Kerajaan Negeri perlu mengurus kewangan secara lebih berdisiplin dengan memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan mempunyai tujuan jelas, justifikasi kukuh serta memberikan manfaat setimpal kepada rakyat.
“Projek yang benar-benar mendesak mesti diberikan perhatian, manakala perbelanjaan yang kurang penting perlu dinilai semula. Sebarang pembaziran dan ketirisan tidak boleh diberi ruang,” katanya.
Beliau berkata, tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat pada 2026 dijangka lebih mencabar pada 2027, selain kenaikan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi global yang turut memberi tekanan kepada kerajaan, sektor perniagaan serta isi rumah.
Bagaimanapun, katanya, kekangan kewangan tidak akan dijadikan alasan untuk meminggirkan kebajikan rakyat.
“Dengan sumber kewangan terhad, kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah dalam masa singkat. Namun, kita tidak boleh membiarkan rakyat menghadapi kesusahan tanpa perhatian dan pembelaan.
“Keluhan rakyat mesti kita dengar. Setiap masalah perlu ditangani. Setiap ikhtiar yang munasabah mesti diusahakan,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan mengoptimumkan hasil sedia ada, meningkatkan kecekapan kutipan, menutup ruang ketirisan serta meneroka potensi ekonomi baharu tanpa membebankan rakyat.
Sanusi berkata, usaha memperluas peluang ekonomi juga akan dipergiat menerusi kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan, pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bantuan kepada usahawan tempatan serta usaha menarik pelaburan yang mampu memberikan manfaat nyata kepada rakyat.
“Kita mahu rakyat mempunyai pendapatan lebih baik, anak-anak muda mempunyai masa depan lebih terjamin dan setiap keluarga dapat menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya.

Post a Comment