RM23.2 JUTA PERKASA PERKHIDMATAN AWAM, TRANSFORMASI DIGITAL DIPERLUAS
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM23.2 juta bagi pelaksanaan Pelan Pembangunan Strategik Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri, termasuk usaha menaik taraf fasiliti kerajaan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, RM14 juta turut diperuntukkan bagi pembelian aset pelbagai jabatan negeri, merangkumi peralatan teknikal seperti Global Navigation Satellite System (GNSS), dron serta peralatan sokongan lain bagi memperkukuh keupayaan operasi jabatan.
“Dalam usaha mempercepatkan transformasi digital, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM1.65 juta bagi meningkatkan penggunaan teknologi, Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan rakyat.
“Sementara itu, sebanyak RM10.4 juta diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur digital yang merangkumi penggantian server, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta langganan perisian seperti GIS dan AI,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pembentangan Bajet Kedah 2027 di Wisma Darul Aman, hari ini.
Menurut beliau, agenda pendigitalan perkhidmatan awam turut diperkasakan menerusi portal iBAYAQ sebagai gerbang pembayaran bersepadu bagi memudahkan urusan pembayaran orang awam kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri.
“Skop perkhidmatan portal iBAYAQ akan diperluaskan secara berperingkat kepada agensi lain termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA).
“Inisiatif ini membolehkan orang awam melaksanakan pelbagai urusan pembayaran melalui satu platform tanpa perlu mendaftar masuk ke sistem pembayaran berbeza bagi setiap agensi,” katanya.
Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM500,000 bagi pembangunan Integrated Career System (ICS) yang mengintegrasikan eSPA, iKerja dan IQDigital dalam satu platform bagi memudahkan urusan permohonan pekerjaan.
Dalam perkembangan sama, TV Kedah akan terus diperkasakan sebagai platform media rasmi kerajaan negeri dalam menyampaikan berita, hebahan dan perkembangan semasa Kedah secara pantas, tepat dan menyeluruh.

Post a Comment