Header Ads

test

PEMBERIAN GERAN TAMAN KOTA NELAYAN DITERUSKAN PADA 2027

 

Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Peruntukan sebanyak RM2.45 juta disediakan bagi pembangunan, pembaikan dan penyelenggaraan perumahan awam, selain meneruskan inisiatif pemberian hak milik kepada penduduk pada tahun 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, selain penyediaan rumah mampu milik dan perumahan awam, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada aspek pemilikan tanah serta kepastian hak milik dalam kalangan rakyat.
“Peruntukan sebanyak RM480,315.86 disediakan bagi penyediaan geran Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah Fasa 1 yang melibatkan 321 lot,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Katanya, bagi tahun 2027, Kerajaan Negeri sekali lagi menunjukkan komitmen meneruskan inisiatif berkenaan dengan menyediakan peruntukan kos siling sebanyak RM500,000 bagi penyediaan geran Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah Fasa 2 yang melibatkan 257 lot.
Jelasnya, Bahagian Perumahan sedang melaksanakan proses penyediaan geran bagi lot-lot yang telah diperuntukkan tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat baki sebanyak 135 lot yang masih dalam proses mendapatkan Borang Jadual 1 daripada Pejabat Tanah Daerah Kota Setar sebelum urusan penyediaan geran dapat diteruskan.
Secara keseluruhannya, inisiatif Geran Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah ini melibatkan sebanyak 713 lot.
“Saya ingin menegaskan bahawa penyediaan geran ini bukan sekadar urusan dokumentasi tanah, sebaliknya merupakan satu usaha untuk memberikan kepastian hak milik kepada penduduk serta menjamin kepentingan mereka dan generasi akan datang,” katanya.

Tiada ulasan