PBT TENTUKAN PENDEKATAN OPERASI PREMIS JUDI DI KEDAH
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menentukan pendekatan yang boleh diambil berhubung pengoperasian premis perjudian di negeri ini susulan keputusan mahkamah yang membatalkan tindakan Kerajaan Negeri sebelum ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah akur dengan keputusan mahkamah berhubung dasar tidak memperbaharui lesen premis pertaruhan nombor ramalan, meskipun pendirian Kerajaan Negeri mengenai perkara itu tidak berubah.
"Kerajaan Negeri akur kepada keputusan mahkamah. Kita akan buat apa yang betul. Dasar kita tidak berubah tetapi kerana mahkamah putuskan tindakan kita itu ultra vires, kita akurlah.
"Apa pendekatan yang boleh dibuat oleh pihak PBT, saya serah kepada PBT," katanya pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mansor Zakaria memaklumkan PBT sedang mengkaji pemberian lesen premis berkenaan berdasarkan alasan yang dibenarkan undang-undang.
Antara aspek yang diberi perhatian termasuk perancangan dan pengezonan, keselamatan, kesihatan awam, gangguan awam serta aliran trafik.
Selain itu, ketidakpatuhan terhadap peraturan bangunan dan perkara lain yang termasuk dalam bidang kuasa serta kompetensi PBT turut menjadi pertimbangan.
Mansor menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan Teh Swee Leong (DAP-Kota Darul Aman) mengenai tindakan susulan Kerajaan Negeri selepas keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 Disember 2025 dan Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini menolak permohonan kebenaran merayu serta memerintahkan pembayaran kos sebanyak RM50,000 berhubung dasar Kerajaan Negeri tidak memperbaharui lesen premis pertaruhan nombor ramalan.
Mengulas mengenai isu baki kutipan bayaran hasil sumbangan orang ramai melalui Yayasan Kedah Sejahtera bagi membayar kos mahkamah Kerajaan Negeri sebanyak RM50,000 selepas kutipan mencecah RM283,676.31.
Sanusi berkata, Kerajaan Negeri menerima sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut yang mengutip dana orang ramai bagi membantu menampung kos berkaitan urusan mahkamah.
"NGO nak bagi, kita terima. Mereka kutip daripada orang ramai dan sumbang kepada negeri. Mereka menjadi pemudah cara.
"Kalau orang ramai sumbang terus kepada Kerajaan Negeri, kita kena bagi resit. Sebab itu mereka sumbang kepada NGO dan itu lebih baik.
"Orang ramai percaya dan duit itu memang sampai kepada kita untuk urusan tersebut," katanya.
Menurut Sanusi, baki sumbangan akan digunakan bagi kes judi berkenaan yang masih lagi berjalan di mahkamah.
Beliau berkata, sumbangan berkenaan antara lain diperlukan bagi menampung kos mahkamah sebanyak RM50,000 yang perlu dibayar selepas kalah dalam kes mahkamah.
"RM50,000 itu kos mahkamah yang Kerajaan Negeri kena bayar. Apabila kita kalah, mahkamah memerintahkan kita membayar kos. Jadi, kita bayarlah," katanya.
Dalam pada itu, Sanusi berharap perjuangan menentang perkara mungkar dalam masyarakat terus mendapat sokongan rakyat Malaysia.
“Ada pihak yang menyokong juga benda-benda tak baik atas alasan budaya, itu hak mereka.
"Rakyatlah kena buat pendirian. Kalau tak suka, tolaklah mereka. Kita demokrasi, ada kuasa. Ada kuasa undi. Mengundilah," katanya.
Post a Comment