Header Ads

test

KERAJAAN KEDAH PERKUKUH INFRASTRUKTUR AIR, MANFAAT 36,850 AKAUN PENGGUNA

 

ALOR SETAR - Usaha berterusan Kerajaan Negeri Kedah memperkukuh infrastruktur bekalan air menerusi pelaksanaan beberapa projek Loji Rawatan Air (LRA) membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan keperluan asas rakyat terus diberi keutamaan.
Dato' Dr. Mohd Hayati Othman (PAS - Tokai) berkata, kejayaan menyiapkan projek LRA Jenun Baru yang meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada 55 juta liter sehari (MLD) kepada 110 MLD merupakan satu pencapaian penting dalam meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air di negeri ini.
Menurut beliau, projek berkenaan yang telah diserahkan kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) memberi manfaat kepada 36,850 akaun pengguna, sekali gus membantu mengurangkan masalah tekanan air rendah dan gangguan bekalan yang sebelum ini dihadapi penduduk Pendang.
“Terima kasih Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Kedah, SADA serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan. Pembangunan LRA Lubuk Buntar akan meningkatkan kapasiti kepada 34 MLD sebagai satu lagi usaha memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Tambah Mohd Hayati, sebuah lagi projek LRA yang hampir siap dijangka menyumbang tambahan kapasiti sebanyak 454 MLD dengan kos berjumlah RM431 Juta.
Dalam pada itu, beliau berharap usaha memperkukuh sistem pengurusan air dan saliran turut diteruskan bagi menyokong pembangunan sektor pertanian, khususnya inisiatif Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) meningkatkan kekerapan penanaman padi sehingga lima kali dalam tempoh dua tahun.
“Saya turut menghargai kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang membantu penduduk kawasan Tokai menangani masalah air bertakung melalui penyediaan pam bagi mengalirkan air keluar dari kawasan kampung ke sungai,” ujar beliau.
Katanya, pengalaman penduduk tempatan dan pandangan agensi teknikal perlu terus dijadikan panduan dalam pelaksanaan projek saliran supaya setiap pembangunan dapat memberi manfaat secara menyeluruh kepada masyarakat.

Tiada ulasan