Header Ads

test

LAPANGAN TERBANG KARGO MAMPU SUMBANG 4.5 PERATUS KEPADA KDNK KEDAH

 

Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Pembangunan lapangan terbang kargo Kedah berpotensi menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri dengan unjuran sumbangan sebanyak 4.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekiranya projek berkenaan berjaya direalisasikan.
Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pembangunan kemudahan itu amat penting bagi merealisasikan potensi Kedah Aerotropolis, khususnya dalam memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab pemindahan kargo bagi Malaysia dan sebahagian Asia Pasifik.
“Kita kesal, daripada lapan keperluan yang ditetapkan bagi pembangunan projek berkenaan, enam daripadanya telah dipenuhi, manakala dua lagi masih berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Setiap kali ditanya, mereka masih lagi tidak memberikan kebenaran,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Menurut Haim Hilman, kegagalan mendapatkan kelulusan bagi dua keperluan tersebut menyebabkan pembangunan lapangan terbang kargo masih belum dapat diteruskan, sekali gus memberi kesan kepada perkembangan Sidam Logistics and Aerospace Manufacturing Hub (SLAM).
“Apakah makna SLAM jika kita mempunyai kapal tetapi tidak mempunyai sayap? Kita memerlukan lapangan terbang kargo untuk membolehkan SLAM berkembang dan maju.
“Kita sudah bersedia untuk memberikan sumbangan kepada negara, tetapi malangnya perkara ini masih belum mendapat kebenaran yang diperlukan,” katanya.
Tambahnya lagi, pembangunan kemudahan berkenaan perlu dilihat dalam konteks kepentingan ekonomi negara secara menyeluruh dan bukan sekadar persaingan antara negeri, memandangkan Kedah mempunyai potensi untuk menyumbang kepada rantaian logistik dan perdagangan antarabangsa.
Beliau turut mengambil contoh pembangunan di Tennessee dan Kentucky, Amerika Syarikat, yang menunjukkan bagaimana kewujudan hab pemindahan kargo mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menarik kemasukan syarikat besar dan pelaburan industri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan industri di kawasan luar bandar menerusi penyusunan semula peranan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) sebagai pemangkin pembangunan taman perindustrian.
Katanya, PKNK perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam merancang dan membangunkan kawasan perindustrian baharu, termasuk memperluas potensi pembangunan Greater Alor Setar bagi menjadikan kawasan itu lebih berdaya saing sebagai destinasi pelaburan.
“Jika Alor Setar kekal seperti sekarang untuk tempoh 20 tahun akan datang, bandar ini berisiko menjadi sekadar bandar pentadbiran tanpa pertumbuhan ekonomi dan aktiviti pelaburan yang memberangsangkan.
“Namun, melalui pembangunan Greater Alor Setar, kita boleh memperluas radius pembangunan, menyediakan kawasan perindustrian yang lebih tersusun dan menarik lebih ramai pelabur,” katanya.

Tiada ulasan