Header Ads

test

UniSHAMS PERLU PERKUKUH KUALITI, AKREDITASI UNTUK PENARAFAN PERINGKAT ASIA

 

Roslinda Hashim
KUALA KETIL - Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) perlu memberi perhatian kepada usaha memperkukuh kualiti, akreditasi dan pengiktirafan bagi meningkatkan kedudukannya dalam penarafan universiti peringkat Asia.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, bidang Perubatan dan Kaunseling juga wajar diberi keutamaan kerana ia berpotensi menyumbang kepada kedudukan UniSHAMS dalam penarafan universiti peringkat Asia sekiranya memenuhi keperluan dan pengiktirafan bersesuaian.
Baginda yang juga Canselor UniSHAMS turut memperkenan usaha universiti itu memperkenalkan program baharu seperti Kejururawatan, Undang-undang dan Perundangan Syariah, Pengurusan Halal serta Farmasi kerana bidang berkenaan merupakan bidang profesional yang amat diperlukan.
“Beta ingin menzahirkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan Kongres Pendidikan Cordoba of Kedah dan Pelancaran Pelan Strategik Cordoba of Kedah 2026- 2030, pada 18 Ogos lalu.
“Kongres telah gagaskan dua resolusi merangkumi penubuhan Majlis Pendidikan Cordoba of Kedah sebagai badan pemikir dan penasihat strategik dalam menentukan hala tuju pendidikan negeri, serta penubuhan Yayasan Pendidikan Kedah sebagai badan pelaksana bagi memperkukuh ekosistem pendidikan secara menyeluruh,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin berkenan menzahirkan titah ucapan sempena Istiadat Konvokesyen UniSHAMS kali ke-28, hari ini.
Baginda yakin hasrat murni itu akan dapat dilaksanakan dengan sokongan Kerajaan Negeri, sekali gus membawa transformasi gagasan pendidikan Kedah yang holistik.
Sultan Kedah turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) atas sumbangan menjayakan pembangunan kolej kediaman baharu UniSHAMS yang mampu menempatkan 2,360 pelajar menerusi empat blok bangunan lima tingkat.
Bagaimanapun, baginda berharap kemudahan sokongan seperti rumah pengetua dan penolong pengetua, bilik bacaan, ruang rehat pelajar serta lif disediakan bagi memastikan keselesaan penghuni.
Selain itu, kolej kediaman berkenaan juga perlu dilengkapi kafetaria yang selesa, kedai makanan dan minuman serta dobi layan diri.
“Beta menghargai sumbangan Pengerusi The Weststar Group bagi pembinaan masjid dan Smart Kompleks Islam untuk kemudahan warga UniSHAMS serta masyarakat sekitar.
“Beta percaya prasarana yang baik merupakan sebahagian daripada ekosistem pendidikan yang berkualiti. Kampus UniSHAMS yang telah berusia 13 tahun juga perlu sentiasa diselenggara dengan baik,” titah baginda.
Baginda turut merakamkan tahniah kepada Tan Sri Azman Hashim atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Kewangan dan Perbankan Islam.
“Beta berharap tokoh ini akan terus menyumbang kepada kemajuan universiti melalui perkongsian ilmu, jaringan strategik, bimbingan, penyelidikan, peluang kerjaya, mahupun sokongan kepada pembangunan institusi, bagi membantu memperkukuh kecemerlangan serta memacu perkembangan UniSHAMS pada masa hadapan,” titah baginda.
Sultan Kedah turut mengucapkan tahniah kepada 1,039 graduan yang diraikan pada istiadat konvokesyen tersebut.
Baginda bertitah, penerimaan ijazah bukanlah pengakhiran perjalanan menuntut ilmu, sebaliknya permulaan kepada pelayaran lebih luas yang penuh cabaran.
“Bawalah bersama ilmu, pengalaman, nilai Islam dan akhlak yang telah dipelajari sepanjang berada di UniSHAMS untuk dimanfaatkan dalam kehidupan.
“Semoga UniSHAMS terus berkembang sebagai sebuah universiti Islam yang unggul, menjadi kebanggaan Kedah serta terus menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin turut tertarik dengan konsep Istiadat Konvokesyen tahun ini, dengan menyifatkan penggunaan bahtera sebagai subjek utama reka grafik umpama simbolik kepada sejarah kegemilangan tamadun Kerajaan Kedah Tua serta perjalanan manusia dalam menuntut ilmu dan membina masa hadapan.

Tiada ulasan