Header Ads

test

BALU IMAM TERIMA BAYARAN PERKESO


BALU IMAM TERIMA BAYARAN PERKESO

ALOR SETAR- Balu Imam Masjid Kubang Jawi, Hafisah Marzuki, 57, menerima bayaran faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini.

Penyerahan faedah PERKESO ini disampaikan oleh Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor di rumahnya Kampung Lintang, Kubang Jawi.

Allahyarham Tuan Haji Shabudin Haji Othman, 62, yang merupakan Imam Masjid Jamek Qariah Kubang Jawi meninggal dunia ketika sedang bersama jemaah menunaikan solat Asar. 

Berdasarkan semakan dan siasatan oleh PERKESO, kematian Allahyarham disahkan sebagai bencana kerja kerana mengambil kira bebanan tugas imam sepanjang bulan Ramadhan dan proses memastikan pematuhan SOP berkaitan Covid-19 menyebabkan punca keletihan berlebihan.

PERKESO telah membuat bayaran faedah kepada balu Allahyarham yang layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

Beliau turut menerima bantuan Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM837 sebulan yang akan dibayar untuk seumur hidup.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha kerajaan Persekutuan melalui PERKESO untuk memberikan perlindungan kepada mereka yang bekerja sendiri melalui Pelbagai inisiatif yang diperkenalkan khas kepada golongan Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBS).

SPS Lindung ini adalah inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2021 iaitu geran sebanyak RM24 juta untuk disalurkan kepada OBS melalui pembayaran penuh caruman PERKESO.

''Saya mengucapkan takziah kepada keluarga waris. Kita tidak boleh ganti nyawa Allahyarham, tetapi kerajaan telah mengambil tindakan melalui PERKESO untuk meringankan tanggungan yang ditinggalkan.

"Terima kasih kepada pejabat agama yang mengambil inisiatif melaksanakan program ini bersama PERKESO,''ujar Muhammad Sanusi.

Hadir sama, Exco Agama, Pendidikan & Sumber Manusia, YB Brigedier Jeneral Dato' Haji Najmi Haji Ahmad (B), Pengarah PERKESO Negeri Kedah, Encik Mohamad Haron Othman, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid & Surau, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Tuan Syeikh Mohamad Ashraf Haji Mohsin.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusetiaPeneranganDarulAman
#UPDA 
#MediaMBKedah
#MBKedah
#perkeso 

Tiada ulasan