Header Ads

test

KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG KUKUHKAN JATIDIRI WARGANEGARA


KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG KUKUHKAN JATIDIRI WARGANEGARA

ALOR SETAR - Jalur Gemilang merupakan lambang identiti negara yang perlu sentiasa diperlihara setiap masa.

Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakyat perlu menitik beratkan penggunaan Jalur Gemilang dan beliau menasihati rakyat sebagai warganegara yang patriotik untuk tidak meletakkan Jalur Gemilang di tempat yang tidak sesuai.

"Amalan mengibar Jalur Gemilang, seharusnya menjadi budaya dalam kehidupan seharian kita. Ianya harus menjadi amalan dan budaya tanpa perlu menunggu program kemerdekaan dijalankan. 

"Didiklah anak-anak kita akan kepentingannya supaya semangat patriotisme kita kekal diwarisi daripada generasi yang terdahulu dan diteruskan oleh generasi yang akan datang," katanya. 

Beliau berkata demikian di dalam Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Negeri Kedah secara maya di Wisma Darul Aman, hari ini. 

Tambahnya lagi, bertepatan dengan tema 'Malaysia Prihatin' beliau menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia samada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan NGO mahupun orang perseorangan turut sama-sama memerangi musuh iaitu wabak COVID-19. 

"Kita hendaklah menyemarakkan lagi semangat 'Malaysia Prihatin' kepada semua lapisan masyarakat dalam usaha memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat kearah kehidupan yang lebih baik.
 
"Semangat 'Malaysia Prihatin' ini perlu kita tanamkan dalam minda bagi mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat," ujarnya lagi.  

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, YB Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, YB Romani Wan Salin dan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA 
#merdeka 
#lindungdirilindungsemua

Tiada ulasan