Header Ads

test

KEDAH USAHA SEGERA BERALIH DARI FASA 1 PPN


KEDAH USAHA SEGERA BERALIH DARI FASA 1 PPN

JENERI - Kedah akan melangkah meninggalkan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) setelah beberapa inisiatif proaktif diambil kerajaan negeri bagi melepasi indikator nilai ambang yang telah digariskan.
Dua daripada tiga indikator nilai ambang tersebut telah dilepasi manakala nilai ambang peratusan pengunaan katil unit rawapan rapi (ICU) pada paras sederhana masih belum dicapai.
“Insya-Allah, beberapa hari lagi akan ada pengumuman Kedah boleh melangkah ke fasa yang berikutnya.
"Kita ada Langkawi yang sekarang ini sudah masuk fasa keempat. Langkawi merupakan antara kawasan paling tinggi kadar vaksinasi dalam Malaysia,” ujar Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor ketika merasmikan program Sepakat@Komuniti peringkat Daerah Sik di Kampung Berona Kanan, semalam.
Menurut Menteri Besar, Kedah menghadapi masalah berikutan bilangan katil ICU yang terhad iaitu hanya 70 unit. Justeru pihaknya telah membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi menambah bilangan katil ICU.
“Satu-satunya nilai ambang yang kita belum lepasi ialah kadar penggunaan katil ICU. Kadar penggunaan katil ICU mesti di bawah 70 peratus. Kita ada 70 katil yang ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Sultan Abdul Halim (Sungai Petani) dan Hospital Kulim.
“Kita mohon Angkatan Tentera Malaysia untuk buka Hospital Medan dan memasang katil ICU. Kita turut minta Kementerian Kesihatan pasang katil ICU modular. Katil ICU modular ini dalam bentuk khemah. Minggu lepas telah dipasang di Hospital Sultanah Bahiyah sebanyak 15 unit dan 10 unit di Hospital Sultan Abdul Halim,” ujar beliau lagi.
Beliau turut menghargai usaha Jabatan Penerangan Negeri yang aktif bersama komuniti turun padang untuk memberi penerangan di seluruh Daerah Sik.
Dalam perkembangan yang sama, YB Wan Romani Wan Salim, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia yang turut hadir memaklumkan masalah telekomunikasi di Daerah Sik bakal berakhir tidak lama lagi apabila lebih 70 menara di daerah itu bakal dinaik taraf kepada rangkaian 4G.
"Buat masa sekarang di Sik, kita telah ada 54 menara yang akan dinaik taraf kepada rangkaian 4G dan 24 menara baru kita akan dapat melalui program Jalinan Digital Negara (JENDELA).
"Insya-Allah apabila sistem jalur lebar kita dinaik taraf kepada 4G kepada semua menara yang sedia ada ni, saya berkeyakinan di kawasan Sik ini tidak akan alami masalah lagi," ujar Exco Penerangan dan Multimedia.
Turut hadir, Adun Belantik,YB Ustaz Haji Mohd Isa Shafie, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri, Nasrudin Haji Mahmud, Pegawai Daerah Sik, Mahamad Suhaimi Man.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

Tiada ulasan