Header Ads

test

EMPANGAN SABO TITI HAYUN, TUPAH DIJANGKA SIAP JUN 2023


EMPANGAN SABO TITI HAYUN, TUPAH DIJANGKA SIAP JUN 2023

YAN - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyerahkan Surat Setuju Terima Tender (SST) tapak projek pembinaan struktur Empangan Sabo kepada kontraktor berjaya Damaikon Sdn. Bhd. yang bernilai RM22.8 juta.

Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata projek pembinaan ini juga melibatkan kerja-kerja pemulihan bencana banjir akibat banjir lumpur Ogos lalu dan dijangka siap pada Jun 2023.

Katanya, Empangan Sabo yang pertama di Malaysia tersebut memiliki struktur lengkap yang mampu memperlahankan aliran air serta memerangkap semua batu dan kayu yang hanyut.

"Dua kawasan yang akan dibina adalah di Titi Hayun dan satu lagi ialah di Tupah. Konsep ini akan diguna pakai bagi mengatasi masalah kepala air yang berlaku.

“Sepanjang projek itu dilaksanakan, kawasan rekreasi tersebut akan ditutup sepenuhnya kepada pengunjung bagi memastikan kelancarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Pembinaan Struktrur Sabo serta Kerja-Kerja Berkaitan dalam Daerah Yan dan Kuala Muda di Pusat Rekreasi Titi Hayun di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, sistem amaran kepala air yang dikenali sebagai Sistem Amaran Banjir Kepala Air (SABKA) juga akan dibina di Gunung Jerai pada pertengahan bulan hadapan.

"Kementerian juga bersetuju untuk memasang siren amaran awal di seluruh negara terutamanya di tempat-tempat rekreasi bagi memberi amaran awal kepada pengunjung sebelum berlakunya bencana.

"Dengan adanya sistem ini, setidak-tidaknya mereka yang sedang mandi atau berekreasi boleh menyelamatkan diri ketika kepala air masih pada peringkat awal di bahagian atas," ujarnya lagi.
Turut hadir, Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Haji Norizan Khazali, Timbalan Setiausaha KASA, Dr. Ching Thoo Kim dan Ketua Pengarah Jabatan Air dan Saliran Malaysia, Dato' Ir Dr. Haji Md Nasir Haji Md Noh.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”




 

Tiada ulasan