Header Ads

test

MISI BANTUAN BANJIR KERAJAAN NEGERI KEDAH & KHIDMAT MALAYSIA KEDAH KE SELANGOR



MISI BANTUAN BANJIR KERAJAAN NEGERI KEDAH & KHIDMAT MALAYSIA KEDAH KE SELANGOR

Misi Bantuan Banjir Kerajaan Negeri Kedah ke Selangor bermula dengan pengumuman bantuan khas sebanyak RM200,000 oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor pada 20 Disember 2021.

Satu mesyuarat penyelarasan untuk menyusun atur tugasan agensi-agensi kerajaan dan sukarelawan dipengerusikan oleh Menteri Besar telah diadakan di Kediaman Rasmi Seri Mentaloon pada 21 Disember 2021.

Mesyuarat itu dihadiri oleh pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Negeri, pegawai kanan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta ketua-ketua jabatan. Turut sama hadir pengurusan tertinggi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Mu’adzam Shah (UniSHAMS) serta Khidmat Malaysia.

Arahan pertama kerajaan ialah semua PBT perlu hantar petugas berserta dengan aset membantu PBT di Selangor seberapa segera. Keesokannya (22 Disember 2021), tiga PBT telah mula bergerak ke negeri itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah lebih awal telah menghantar pasukan Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal (BPME) bersama dua unit mesin pengepam yang tiba di lokasi bencana pada pagi 21 Disember 2021.

Pada 23 Disember 2021, LZNK telah melancarkan misi bantuannya sendiri yang dilepaskan oleh DYTM Raja Muda Kedah, Tunku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.

Misi Bantuan LZNK yang diangkut dengan empat treler kontena membawa 120 tan beras bernilai RM284,000 selain 3,000 botol kicap dan sos sumbangan Syarikat Mudim Sdn. Bhd.

Selain itu, turut serta dalam misi itu ialah Klinik Bergerak LZNK yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Selangor yang kritikal. Sekumpulan petugas perubatan termasuk bekalan ubat-ubatan diuruskan Pejabat Menteri Besar dengan kerjasama Pertubuhan Amal Kesihatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

Daripada 120 tan beras, 90 tan diturunkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Masjid Imam As Syafie di Kuala Lumpur dan Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Pahang.

Sebuah lagi treler bermuatan 30 tan beras terpaksa berpatah balik ke Kedah setelah mengalami kerosakan.

Pada 24 Disember 2021, pasukan petugas memasak daripada PAS Kawasan Merbok berlepas dengan membawa bahan mentah serta peralatan. Mereka ditempatkan di Dewan Seri Cempaka, dewan serba guna terbesar di Bandar Kajang. Di situlah para sukarelawan Khidmat Malaysia, Jabatan Amal PAS Negeri Kedah, pelajar-pelajar UniSHAMS serta semua petugas agensi Kerajaan Kedah menginap sepanjang tempoh misi.

Pada 25 Disember 2021, pelepasan rasmi konvoi Misi Bantuan Kerajaan Negeri Kedah bersama Khidmat Malaysia Negeri Kedah disempurnakan di Dataran Wisma Darul Aman, Alor Setar oleh Menteri Besar.

Konvoi itu disertai 300 petugas dan sukarelawan dengan 40 kenderaan meninggalkan pekarangan Wisma Darul Aman kira-kira jam 10 pagi.

Awal pagi 26 Disember 2021, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi diiringi lapan buah kenderaan membawa pegawai dan sukarelawan bertolak dari Kedah ke Lembah Kelang.

Mereka tiba kira-kira jam 2 petang di Pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor, Shah Alam. Di situ, berlangsung majlis penyampaian bantuan RM50,000 untuk mangsa banjir Selangor yang disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, YB Senator Dato’ Ahmad Yahaya kepada rakan sejawatannya, YB Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Usai majlis, konvoi Dato Seri Haji Muhammad Sanusi dan Senator Dato’ Ahmad Yahaya bergegas ke Bentong, Pahang. Di Maahad Tahfiz Dar Al-Abrar, Bentong, YB Pesuruhjaya PAS Kedah menyampaikan sumbangan RM50,000 untuk bantuan mangsa banjir Pahang yang diterima Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri itu, Ustaz Yohanis Ahmad.

Lewat petang, konvoi meninggalkan Bentong kembali ke Selangor.

Malam itu, YAB Menteri Besar Kedah tiba di Dewan Seri Cempaka, Kajang dan menginap di situ bersama para sukarelawan. Turut sama, petugas daripada PAS Kawasan Sik yang membawa bersama pelbagai aset untuk menyertai misi bantuan.

Pada masa yang sama, sukarelawan daripada PAS kawasan-kawasan lain dari Kedah ditempatkan di beberapa lokasi bencana. Antaranya, PAS Kawasan Kulim - Bandar Baharu diketuai Prof. Dr. Mohd Suffian Yusoff ditempatkan di Markas PAS Kawasan Shah Alam di Seksyen 18, Shah Alam untuk membantu mangsa banjir di sekitar Taman Sri Muda dan Kota Raja.

Pagi 27 Disember 2021, YAB Menteri Besar Kedah melawat beberapa lokasi bencana sebelum melakukan kunjungan ke Pejabat Menteri Besar Selangor di Bangunan SUK (Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah) di Shah Alam.

Ini diikuti dengan majlis penyampaian ‘mock cheque’ sumbangan RM200,000 untuk Tabung Selangor Bangkit bagi membantu mangsa banjir oleh Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amiruddin Shaari.

Dalam ucapannya, Dato’ Menteri Besar Selangor menyifatkan sumbangan Kerajaan Kedah dan Kelantan untuk tabung berkenaan sebagai ‘denak’ bagi menarik lebih banyak sumbangan.

Ini kerana kos yang ditanggung untuk operasi baik pulih bencana kali ini amatlah besar. Untuk daerah Hulu Langat sahaja, kata beliau, sebanyak RM147 juta diperlukan untuk baik pulih dan bantuan kepada mangsa.

Pada majlis yang sama, beberapa GLC Selangor dan syarikat swasta turut menyampaikan sumbangan masing-masing dengan jumlah keseluruhan terimaan pada hari itu RM3.2 juta.

Petang 27 Disember 2021, YAB Menteri Besar Kedah turun ke lokasi bencana antara yang paling kritikal Batu 20 Kampung Sungai Lui, Hulu Langat. Di situ, beliau menyertai para sukarelawan menyingsing lengan membantu membersihkan kawasan rumah penduduk yang masih diliputi timbunan lumpur dan sampah sarap sisa banjir serta ‘kepala air’.

Penduduk penempatan itu rata-rata menyuarakan rasa terharu dengan kesanggupan YAB Menteri Besar Kedah turun sendiri membantu mereka.

Lebih daripada itu, kekaguman mereka bertambah-tambah apabila melihat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi memandu sendiri jenkaut membersihkan halaman sebuah rumah yang dipenuhi lumpur setebal lebih dua kaki hingga selesai.

“Mana lagi nak cari Menteri Besar yang macam ini…,” kata seorang penduduk, Abdul Khalil dalam komennya kepada seorang pegawai.

Menjelang senja sebelum Menteri Besar Kedah beredar, sekumpulan penduduk menghampiri beliau dan mereka berbual mesra, persis begitu berat hendak melepaskan pemimpin itu pulang setelah sama-sama berpenat lelah membantu membersihkan kawasan rumah mereka.

Awal pagi 28 Disember 2021, konvoi sukarelawan Kedah diketuai YAB Menteri Besar tiba di Kampung Orang Asli Paya Lebar, Sungai Lui. Hari itu, misinya ialah menarik paip mendaki puncak bukit berhampiran sejauh kira-kira dua kilometer dari kampung berkenaan.

Sebelum bencana, 250 penduduk kampung berkenaan menggunakan bekalan air harian daripada tiga buah tandak di puncak bukit berhampiran. Bencana ‘kepala air’ telah mengakibatkan dua daripada tiga tandak itu mengalami kerosakan selain kesluruhan paip yang digunakan selama ini musnah.

Khidmat Malaysia Selangor telah mengambil inisiatif untuk mengumpul dana membeli 22 gulung paip pelbagai saiz lengkap dengan peralatan untuk menyambung semula bekalan yang terputus.

YAB Menteri Besar Kedah, YB Pesuruhjaya PAS Selangor bersama sukarelawan PAS dari Kedah dan Selangor disertai penduduk kampung bergotong-royong menarik dan mengusung paip hingga ke puncak bukit.

“Tok pun tak tahu nak cakap apalah… terima kasihlah. Terima kasih banyak-banyak. Susah nak tengok Dato’ Menteri (Besar) turun bantu macam ini,” kata Batin Kampung Paya Lebar, Aning anak Embong dalam ucapan beliau.

Seperti tidak mengenal erti penat, dari Kampung Orang Asli Paya Lebar, YAB Menteri Besar Kedah kemudian bergegas ke Sungai Serai yang sejauh lebih 20 kilometer setelah mendapat aduan ada penduduk kampung yang tidak dapat memasuki kawasan rumah disebabkan timbunan lumpur yang tebal.

Tiba di sana, sebuah jenkaut dan sebuah lori JKR Kedah sudah sedia untuk memulakan operasi.

Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi terus menaiki jenkaut dan melaksanakan ‘tugasnya’.

“Tak tahu nak cakap… apa saya boleh kata, saya rasa amat terharu dengan kesanggupan Dato’ Seri turun sendiri bantu saya dan keluarga. Kalau tidak, tak tahulah… kami sendiri memang tak daya nak bersihkan kawasan berlumpur ni,” kata Tomi, penghuni rumah itu.

Menjelang petang, operasi di Sungai Perai berakhir dan setelah membersihkan diri di Sungai Tekala, YAB Menteri Besar Kedah bersama rombongan, berangkat balik ke Alor Setar.

Tiada ulasan