Header Ads

test

PERTUBUHAN MAWB DISERU KEKALKAN HARMONI DEMI NEGARA



ALOR SETAR – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Mohd Firdaus Ahmad menyeru Pertubuhan Kebajikan Muafakat Amal Warisan Beradat (MAWB) Kedah agar memastikan dapat kekalkan keharmonian dan kesejahteraan negeri dan negara tercinta ini.

 

Katanya, pertubuhan ini disertai oleh pelbagai pihak yang mempunyai latar belakang yang berbeza termasuk golongan profesional.

 

“Apa yang ingin saya katakan, saya yakin dan percaya pertubuhan ini mampu dijadikan sebagai contoh kepada pertubuhan lain yang masih tercari-cari hala tuju, nyatanya telah sampai kepada satu tahap keampuhan dan kematangan yang mampu menjadi serta selayaknya dipersiagakan bukan sahaja pada paras ini, malah kepada yang lebih tinggi.

 

“Saya amat berharap seluruh warga MAWB dapat meneruskan tradisi ini dengan memelihara rukun negara seperti termaktub dalam perlembagaan dalam memacu sebuah perjalanan yang menemukan destinasi yang maju dan berwawasan,” ujarnya. 

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Pelancaran dan Penganugerahan Watikah Serta Selempang Pertubuhan Kebajikan Muafakat Amal Warisan Beradat (MAWB) mewakili Menteri Besar Kedah di Hotel Raia, semalam.

 

Ujarnya, kerajaan negeri berharap dapat bekerjasama dengan NGO-NGO yang lain supaya lebih banyak program kebajikan dapat dilaksanakan seterusnya membantu kerajaan dalam melaksanakan agenda memajukan rakyat negeri Kedah.

 

“Kita akan memahami bahawasanya, untuk membangunkan sesebuah negara bangsa, bukannya boleh diambil dengan jalan mudah, ianya pasti akan berhadapan dengan pengorbanan, bersusah payah dan proses untuk melihat kejayaan sesebuah negara bangsa pasti akan melalui sebuah jalan yang panjang. Bak kata pepatah Inggeris, indeed,… Rome was not built in a day. 

 

“Maka bertolak dari situ, saya amat berharap Yang Berbahagia Dato’ Wan Haris serta seluruh warga pertubuhan ini, meneruskan tradisi yang mementingkan kejayaan sebenar iaitu memelihara rukun negara yang sudah termaktub di dalam perlembagaan negara. Saya pasti ia akan mengiringi sebuah perjalanan yang menemukan destinasi yang maju dan berwawasan,” tambahnya lagi.

 

Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi MAWB Kedah, Dato' Wan Haris Wan Ismail yang telah menggerakkan pertubuhan ini semenjak 2020 dan memperoleh kelulusan pendaftaran ROS bagi menggerakkan MAWB sebagai sebuah pertubuhan berdaftar serta penganjuran majlis makan malam ini.

 

Hadir sama, Ahli Penasihat MAWB Kedah, Dato' Mohammad Haji Sheikh Mohammad dan Doktor Pakar Perubatan Poliklinik Kedah, Dr Ahmad Akashah Mohamed Shariff.

Tiada ulasan