Header Ads

test

AMAL SURAH AL-WAQIAH RAHSIA 10 A+ DALAM SPM 2021


ALOR SETAR – Dugaan pandemik COVID-19 tidak menghalang pelajar Sekolah Model Khas Bukit Jenun, Nurul Hana Abdul Halim, 18 memperoleh 10 A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.


Nurul Hana tidak berhenti mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga atas usaha yang dilakukan membuahkan hasil dan dapat membanggakan ayah, Abdul Halim, 53 dan ibunya, Suriani Abdul Rahman, 52.


“Sejujurnya, saya tidak sangka pun atas keputusan ini kerana ketika percubaan saya hanya dapat 9A 1B. Jadi masa SPM ini saya tidak terlalu target tinggi. Tetapi Alhamdulillah, rezeki daripada Allah,” katanya ketika ditemu ramah wartawan selepas pengumuman keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, di sini, hari ini.


Katanya, amalan yang utama dilakukan dalam memberi kemudahan menuntut ilmu adalah dengan mengamalkan surah Al-Waqiah.


“Sebelum pergi ke sekolah saya, saya akan baca Al-Waqiah setiap hari supaya melapangkan dada dan lancarkan pengajian saya. Kalau saya tinggal Al-Waqiah, setiap aktiviti yang saya lakukan seperti tidak lengkap,” katanya.


Kongsinya lagi, dia juga mengamalkan disiplin dalam mengulang kaji pelajaran dan membuat persediaan awal sebelum menjelang tarikh peperiksaan serta memberi fokus seratus peratus di dalam kelas juga menjadi sebab rahsia utama dalam kejayaan ini.


Ditanya mengenai perancangan melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya, Nurul Hana berkata, kos perubatan dan jurutera menjadi pilihan utama dalam meneruskan pengajian.


Menurut ibunya, Suriani, dalam mendidik anak-anak ibu bapa tidak boleh lepas tangan terhadap amanah yang Allah berikan.


“Saya ketika anak masih kecil lagi, saya beri didikan awal tidak meninggalkan solat sejak umur enam tahun. Walaupun sakit, tetap kena solat. Saya sangat memberi penekanan utama berkaitan ibadah solat.


“Bagi saya, tanpa pengharapan daripada Allah kita tidak punya apa-apa. Nikmat yang diberi sekarang ini juga adalah satu ujian dan kita perlu bersyukur. Itu apa yang saya ungkapkan kepada Hana selepas mengetahui keputusan cemerlang ini,” katanya.


Beliau yang bekerja sebagai seorang guru berkata, perkara utama sebagai ibu adalah memberi keredhaan kepada anak.


“Tanpa redha seorang ibu, anak-anak tidak akan berjaya. Setiap hari, sebelum tidur saya akan berdoa Ya Allah, aku redha terhadap anakku. Kalau tidak ada redha seorang ibu, anak tidak akan berjaya, “ jelasnya lagi.


Tambahnya, beliau juga tidak memberi mana-mana pilihan kepada Hana dalam meneruskan pembelajaran.


“Sebagai ibu dan ayah ini, kami bimbing ke mana yang dia minat. Bagi saya, kejayaan anak-anak ini perlu ditanam sejak kecil kepentingan ilmu. Jadi bila dah besar, dia dah tahu kewajipan tuntut ilmu itu,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan