Header Ads

test

FENOMENA BANJIR DI BALING, MENYERUPAI KEPALA AIR DI YAN


BALING - Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa fenomena banjir di Baling semalam adalah menyamai kepala air yang berlaku di Yan pada 18 Ogos tahun lalu.

“Aliran yang membentuk kepala air itu adalah air yang terkumpul di alur-alur sepanjang Gunung Inas yang mengalir serentak dan disekat dengan kayu dahulu kemudian turun serentak ke bawah, ia menyamai kepala air yang berlaku di Gunung Jerai pada tahun lalu,” jelas Sanusi dalam sidang media selepas melawati tapak banjir.

Berikutan itu tambahnya, agensi-agensi yang terlibat sedang membuat kajian kadar kerosakan fizikal pada infrastruktur di kawasan terjejas dan turut melibatkan jambatan menghubungkan Kampung Iboi dengan Kampung Pecah Bendang yang sudah terputus.

Menurut Muhammad Sanusi, masih ada tandak-tandak air yang dibina oleh penduduk tempatan tetapi ditimbus oleh pasir. Tandak air yang digunakan oleh pengusaha tanaman juga tidak pecah.

Katanya, dakwaan berkenaan projek tanaman Musang King yang mengakibatkan bencana ini berlaku belum dapat disahkan dan masih dalam siasatan.

Pada tahun 2020, Menteri Besar telah mengarahkan syarikat yang menjalankan projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas supaya menghentikan segera aktiviti terbabit bagi mengelak berlakunya banjir kilat berterusan di Mukim Kupang.

“Saya sudah mengarahkan agar pengusaha-pengusaha segera menanam pokok tutup bumi di kawasan yang telah digondolkan,” jelas Sanusi.

Beliau dapati masih ada pokok tutup bumi tetapi mungkin belum mampu menyerap aliran air yang banyak sehingga berlakunya banjir.

Muhammad Sanusi menasihati agar penduduk yang berada di tepi Sungai Kupang untuk sentiasa berhati-hati kerana Jabatan Meteorologi mengesahkan petang ini dijangka akan kembali hujan.



 

Tiada ulasan