Header Ads

test

KEDAH PINDA HAD UMUR DAN DENDA DINAIKKAN POLIGAMI TIDAK BERDAFTAR

 




ALOR SETAR – Persidangan Dewan Negari hari ini meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Keluarga Islam (Pindaan) 2022 menetapkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi perempuan dan kesalahan poligami tanpa kebenaran mahkamah dinaikkan hukuman denda tidak melebihi RM3000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.


Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, YB Brigedier Jeneral Dato’ Haji Najmi Haji Ahmad berkata, penyelarasan had umur minimum perkahwinan bertujuan menangani kesan negatif membabitkan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak. 


Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, beliau menekankan peranan ibu bapa terhadap kecenderungan mengahwinkan anak-anak apabila telah berlakunya keterlanjuran.


“Sesungguhnya semangat daripada pindaan ini adalah menjurus kepada pengawalan ke atas kecenderungan sebahagian orang yang boleh dikatakan tergesa-gesa mengahwini anak-anak apabila mereka melakukan keterlanjuran dan sebagainya.


“Juga kepada anak-anak yang belum bersedia dari segi dari aspek emosi, mental, serta kemampuan mengurus perkahwinan selepas akad diadakan. Bererti pindaan ini bukan bermaksud menyekat perkahwinan tetapi sebagai pengimbang tara daripada pihak berwajib kepada masyarakat. Dengan maksud keadaan yang melibatkan golongan remaja ini rasanya sesuai kalau saya ibaratkan macam polis membuat sekatan jalan raya dengan tujuan keselamatan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika perbahasan rang undang-undang di Mesyuarat Sidang Dewan Undang Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, hari ini.


Katanya lagi, aspek baligh juga diambil kira dalam pertimbangan ini supaya tidak menjadi punca apabila berlaku sebarang kemungkinan di kemudian hari.


“Jadi ada orang yang umurnya sudah baligh tapi tidak matang.  Kemudian ada cepat baligh tetapi matang. Jadi maknanya tapi dalam secara kematangan itu ialah berada selepas kita mencapai umur baligh.


“Jadi apa yang dibangkitkan dalam menetapkan umur 18 tahun sebenarnya perkara ini telah melalui proses perundangan dan juga kita telah melalui perbincangan melalui jawatankuasa penggubalan di mana di dalam jawatankuasa penggubalan ini ada anggota-anggota yang pakar bidang syarak iaitu para ulama,” jelasnya lagi.

Tiada ulasan