Header Ads

test

MAIWP SUMBANG RM1.3 JUTA BANTU MANGSA BANJIR


MENTALOON- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan memperuntukkan sumbangan sebanyak RM1.3 juta kepada mangsa banjir di Baling.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor menerima cek cura Sumbangan Bantuan Banjir Baling  yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad di Kediaman Rasmi Menteri Besar pagi ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad, RM270,000 daripada sumbangan tersebut diperuntukkan bagi tujuan membina semula tiga buah rumah termasuk pembelian perabot.

Selain itu, bantuan wang tunai berjumlah RM1,000 disalurkan kepada 672 buah keluarga mangsa banjir dan sumbangan kepada masjid dan surau yang terjejas pula berjumlah RM58,000.

Yayasan Khairiyah juga akan menerima sumbangan sebanyak RM300,000 bagi tujuan baik pulih dan memperindah semula kawasan termasuk pembelian perabot. 

“Mudah-mudahan dengan sumbangan kecil ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban serta memberi semangat kepada mangsa banjir,” ujarnya. 

Menteri Besar turut mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan bantuan yang disampaikan.

“Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan,” ujar beliau.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#MediaMBKedah 
#UrusSetiaPeneranganDarulAman


 

Tiada ulasan