Header Ads

test

KEDAH CAPAI RM20 BILION PELABURAN SUKU KEDUA, TERTINGGI DI MALAYSIA


GURUN - Kedah mencatatkan pelaburan mencecah RM20 bilion pada suku kedua tahun ini sekali gus menjadikan ianya angka tertinggi di Malaysia.

Menurut Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor jumlah pelaburan ini mengatasi sasaran tahunan sebanyak RM10 bilion.

“Kita mempunyai aliran pelaburan asing dan domestik yang kukuh ke negeri ini,” kata beliau dalam Majlis Pelancaran Projek Loji Melamina di Zon Industri Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn Bhd di sini, semalam.

Jelasnya, kehadiran pelabur telah membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri kerana ia telah mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat.

Muhammad Sanusi berkata Malaysia terus menarik minat pelaburan pada tahun lepas dan Kedah merupakan antara destinasi pelaburan terpilih walaupun ketika itu dunia sedang bergelut dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

“Nilai pelaburan langsung asing dan domestik yang diluluskan untuk operasi di negeri ini berjumlah RM68.3 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi,” ujar Sanusi.

Katanya lagi pelaksanaan projek melamina di Kedah adalah amat strategik dan menjadi bukti kepercayaan dan pengiktirafan pelbagai pihak terhadap keupayaan kerajaan negeri dan penduduk tempatan dalam menyumbang kepada kejayaan pelaburan perniagaan serta pertumbuhan ekonomi Kedah dan Malaysia secara keseluruhannya.


 

Tiada ulasan