Header Ads

test

SILAT SIMBOLIK PENYATUAN UMMAH DAN PERPADUAN MASYARAKAT


ALOR SETAR - Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk aktiviti silat yang merupakan medium untuk menjana modal insan dan menjadi agen pelaksana kepada program-program berimpak positif.

Ilmu silat harus diinstitusikan sebagai wadah dan wacana perkembangan ilmu melalui strategi berlandaskan agenda pendidikan, warisan budaya dan kesukanan.

“Silat perlu dipertahankan dan disuburkan supaya ianya kekal relevan, tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas serta diterima oleh masyarakat,” ujar Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor ketika merasmikan Karnival Jom Silat Bersama Menara Alor Setar dan Majlis Anugerah Sanjung Budi 2022 di Menara Alor Setar malam tadi.

Beliau berkata, program silat sebegini perlu diteruskan kerana ia simbolik kepada penyatuan ummah dan perpaduan masyarakat.

“Marilah kita semua warga persilatan berdiri teguh di bawah satu kalimah dan sentiasa siap siaga dalam menempuh segala cabaran dan ancaman yang mendatang.

“Kejayaan dan pengiktirafan yang diperoleh pada malam ini semoga menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada para penggiat silat meneruskan perjuangan dalam dunia persilatan tanpa mengenal jemu dan lelah,”ujar Muhammad Sanusi.

Jelas Muhammad Sanusi penjajahan selepas kemerdekaan ini adalah penjajah bentuk baru yang kebanyakannya menjajah pemikiran yang ditanam dan disuburkan untuk membentuk pepecahan dikalangan orang ramai.

“Pada malam ini saya ingin mengajak untuk kita semua bersatu di bawah satu kalimah Lailahaillallah.
“Berpecah hanya akan mendatangkan kelemahan. Kelemahan ini akan menjadi peluang untuk musuh menguasai kita sekali lagi dalam keadaan sedar atau tidak,” ujarnya lagi.


 

Tiada ulasan