Header Ads

test

KEDAH KE ARAH LAHIRKAN GENERASI PEWARIS BERSIFAT QOWIYYUL AMIN


SIK- Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mahu memastikan generasi muda di Kedah yang menjadi pewaris masa hadapan terdiri daripada generasi yang bersifat 'qowiyyul amin' iaitu kuat dan amanah. 

 

“Orang hisap dadah tak kuat dan tak amanah. Malangnya ada 13,000 anak-anak muda di Kedah terbabit dengan masalah ini,” ujar beliau ketika merasmikan Majlis Penutup Program Melestarikan Felda Komuniti Merdeka Tanpa Dadah di Felda Teloi Timur hari ini. 

 

Katanya, antara perkara paling penting yang dititikberatkan seawal memerintah negeri Kedah adalah membanteras penyalahgunaan dadah. 

 

Jelas beliau, penglibatan pelbagai pihak dan kolaborasi yang jitu perlu dipertingkatkan dalam usaha untuk mencapai Dasar Dadah Negara (DDN) dan Dasar Dadah Terkawal 2025.


Ianya merangkumi usaha mencegah, merawat, memulih dan menguatkuasakan undang-undang serta mengurangkan kemudaratan dalam masalah dadah. 

 

“Saya bagi pihak kerajaan negeri bersedia pada bila-bila masa untuk memberi kerjasama penuh kepada sebarang program yang membabitkan usaha membanteras penyalahgunaan dadah,” kata Sanusi. 

 

Tambah beliau, penduduk luar bandar dan pinggir bandar yang ramai menjadi mangsa pihak-pihak yang menggunakan dadah untuk mengaut keuntungan serta merosakkan anak bangsa.

 

Pesan Menteri Besar, setiap masyarakat perlu bersama-sama menjaga anak-anak dan orang sekeliling daripada ancaman bahaya najis dadah khususnya jiran tertangga dalam komuniti setempat.


#MediaMBKedah 

#UrusSetiaPeneranganDarulAman

Tiada ulasan