Header Ads

test

LEPASAN SPM TOLAK SAMBUNG BELAJAR, DEMI KEJAR POPULARITI MEDIA SOSIAL

ALOR SETAR - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru mengeluarkan data yang menunjukkan lebih 72 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cenderung tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.


Hal ini pastinya sesuatu yang membimbangkan kerana jika ia berlarutan, boleh menjejaskan perkembangan jangka panjang negara.


Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, YB Brigedier Jeneral Dato’ Haji Najmi Haji Ahmad (B) berkata, hal ini disebabkan trend terkini menjurus kepada lebih berminat ingin menjadi pempengaruh (influencer) di media sosial.


Katanya, kewujudan gig ekonomi baharu antara penyebab pelajar tidak melanjutkan pelajaran.


"Tiga faktor utama remaja yang berusia 17 hingga 18 tahun tidak berminat menyambung pelajaran ialah banyak peluang pekerjaan menerusi kerjaya gig ekonomi iaitu kontrak kerja suka sama suka tanpa perlu bekerja sepenuh masa, terpengaruh menjadi pempengaruh atau ‘influencer’ di media sosial dan beranggapan bahawa belajar tinggi bukan jaminan untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik. 


"Salah satu sebab mereka memilih untuk bekerja daripada menyambung pengajian adalah kerana ingin meraih pendapatan lebih awal berbanding rakan lain yang meneruskan pengajian ke kolej atau universiti," katanya ketika berucap pada Majlis Idul Ilmi Maktab Mahmud Alor Setar Tahun 2022, baru-baru ini.


Jelasnya, bagi mengatasi isu ini, intitusi pendidikan adalah wadah terbaik memainkan peranan dalam usaha membimbing dan membentuk golongan muda supaya membudayakan kecintaan ilmu sesuai dengan hadis Rasulullah S.A.W.


Dalam pada itu Najmi yang juga Pengerusi Lembaga Maktab Mahmud, memuji usaha pentadbir dan warga Maktab Mahmud mewujudkan Pelan Induk Kecemerlangan (PIK) Maktab Mahmud Alor Setar 2021 – 2025.


Katanya, pelan dirancang itu bertujuan memacu kecemerlangan dan menjana kemenjadian pelajar dalam semua bidang iaitu kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum. 


"Saya difahamkan, dalam pelan induk ini, terdapat program dan inisiatif yang berimpak tinggi yang telah dirancang dalam tempoh lima tahun untuk meningkatkan kualiti dalam pencapaian Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Peperiksaan Al-Syahadah Al-Thanawiyah Al-Diniah Tingkatan 4, Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Peperiksaan Syahadah Nihaiyyah Tingkatan 6, Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dan Peperiksaan MUET.


"Semoga Pelan Induk Kecemerlangan ini akan sentiasa dijadikan panduan dalam melancarkan pengurusan pendidikan untuk kecemerlangan sekolah seterusnya mengharumkan nama negeri Kedah dalam melahirkan pelajar yang cemerlang Insya Allah.Tahniah Maktab Mahmud Alor Setar," katanya.


Turut hadir, Setiausaha Lembaga Maktab Mahmud, Syarifah Norulasyikhah Syed Mohamad, Pegawai Pembangunan Pendidikan Maktab Mahmud, Zaiton Ismail, Pengetua Maktab Mahmud Alor Setar, Ustaz Abdul Jamil Mohamad dan Yang Dipetua Persatuan Alumni Maktab Mahmud, Dato Haji Faudzi Haji Noh.


"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"

 

Tiada ulasan