Header Ads

test

12 BUAH RUMAH MANGSA BANJIR KAMPUNG IBOI MULA DIBINA


BALING – Dua belas buah rumah baharu mangsa tragedi aliran puing di KEDA Kampung Sadek telah bermula pembinaannya.

Kerajaan membina rumah baharu itu sebagai ganti kediaman penduduk yang musnah dalam tragedi aliran puing di Kampung Iboi, Kupang pada 4 Julai lalu.

Menurut Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan bagi pembinaan rumah baharu dan diuruskan oleh anak syarikat milik kerajaan negeri.

Tambah beliau, pentadbiran kerajaan negeri Kedah begitu mengambil berat kesan yang ditanggung oleh penduduk dalam tragedi tersebut.

Jelasnya pada minggu kedua selepas kejadian, beliau telah menyerahkan sumbangan RM3,000 kepada kesemua 17 wakil keluarga yang terlibat.

Sumbangan bayaran sewa rumah untuk penempatan dalam tempoh selama enam bulan termasuk utiliti katanya berjumlah RM51,000.

“Bantuan Kumpulan Wang Amanah Bencana Negara (KWABN) yang diuruskan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga dapat disalurkan kepada 1,012 Ketua Isi Rumah (KIR) dalam tempoh tidak sampai dua bulan,” ujar beliau dalam Majlis Munajat Dhuha 2022 dan Taklimat Kajian Bencana Geologi Banjir Puing Sungai Iboi di Masjid Al Falah, Kampung Iboi, Kupang di sini hari ini.

Muhammad Sanusi turut menasihatkan agar menghadapi sesuatu krisis dengan berpegang kepada fakta bukan persepsi ataupun tanggapan.

“Tanpa bukti atau data yang jelas, sampai bila pun kita tidak akan dapat mencari punca, apa lagi untuk merungkainya,” katanya.



 

Tiada ulasan