Header Ads

test

IBU BAPA PERLU AMBIL PERANAN JADI GURU DI RUMAH



SIK - Peranan guru di sekolah perlu diteruskan oleh ibu bapa di rumah supaya anak-anak dapat dilahirkan sebagai peneroka ilmu dan bukannya pengikut semata-mata.


Ini kerana  anggapan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku secara semula jadi. 


Namun, dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak. 


Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Brigedier Jeneral Dato' Haji Najmi Haji Ahmad (B) berkata, usaha mempersiapkan generasi muda dengan keperluan alaf milenium ini amat penting. 


"Sayugia, ibu bapa perlu menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah," katanya pada ucapan Majlis Idul Ilmi Maktab Mahmud Sik, pada Ahad.


Katanya, sebagai contoh sewaktu negara menghadapi wabak Covid-19, rakyat dikejutkan dengan fenomena Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah atau PdPr sehingga mengundang pelbagai persepsi positif dan negatif dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa. 


"Oleh itu, sebagai ibu bapa kita perlu melakukan refleksi kendiri atau bermuhasabah, apakah memadai atau cukup setakat menyerahkan tanggungjawab kepada guru-guru dan pihak sekolah semata-mata? 


"Tuntasnya, ibu bapa perlu bersiap-siaga menghadapi pelbagai perubahan dalam pendidikan dan senantiasa memastikan usaha yang dimulakan di sekolah oleh guru akan diteruskan oleh mereka apabila anak-anak berada di rumah," katanya.


Beliau berkata, dalam konteks kepimpinan sekolah pula perlu memacu penghasilan daya kreativiti dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan.


"Bagi menghasilkan pendidikan yang bermutu, guru-guru perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan murid untuk berfikir secara kreatif dan inovatif.


"Hal ini boleh dipraktikkan melalui pengaplikasian Pembelajaran Abad ke -21 (PAK 21) dalam pengajaran dan pembelajaran.  


"Kita perlu berganjak daripada pendekatan model kilang penghasilan pendidikan kepada model penciptaan pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan minda, yang menguji daya kreativiti dan inovasi, yang mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah dan yang mengasah ketajaman penaakulan murid.


"Kepada para pendidik, orang ramai terutama ibu bapa sentiasa mengukur pencapaian kita berdasarkan standard kualiti yang dijanjikan. 


"Kita jangan cepat berasa puas dengan pencapaian pada hari ini. Sebagai pendidik, kita mesti sentiasa berusaha meningkatkan kualiti agar perkhidmatan pendidikan tidak dipandang sebelah mata oleh pihak lain dan sentiasa menjadi contoh kepada perkhidmatan yang lain," jelasnya lagi.


Turut hadir, Ahli Parlimen Sik, YB Ahmad Tarmizi Sulaiman.


"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua "

Tiada ulasan