Header Ads

test

RAKYAT DINASIHATI CAKNA PILIH UBAT YANG BERDAFTAR ELAK KESAN BURUK



ALOR SETAR - Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Dr. Mohd Hayati Othman menasihati rakyat untuk terus cakna dalam memilih ubat-ubatan dan perlu dapatkan nasihat daripada ahli farmasi yang berdaftar.


Katanya, sempena Hari Farmasi Sedunia 2022, beliau mengajak rakyat untuk terus berwaspada dan berhati-hati dalam membuat pembelian ubat-ubatan.


“Apabila kita ambil produk atau ubat yang tidak berdaftar dan mengandungi bahan terlarang yang membahayakan tubuh, ia menyebabkan kesan sampingan.


“Kesan itu tidak dilihat pada masa sekarang tetapi mengambil masa yang lama untuk memberi kesan buruk terhadap buah pinggang, usus dan organ dalaman,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Farmasi Sedunia 2022 peringkat negeri Kedah dan Perlis yang diadakan di Aman Central, pada Sabtu.


Katanya, sambutan yang bertemakan “Pharmacy United In Action For A Healthier World” bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang profesion ahli farmasi serta sumbangan mereka dalam perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.


Maklum beliau lagi, terdapat lebih empat juta ahli farmasi di seluruh dunia, dengan jumlah seramai 22,703 ahli farmasi berdaftar di negara Malaysia. 


“Selain daripada perkhidmatan utama ahli farmasi iaitu membekalkan ubat kepada pesakit, ahli farmasi juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan ubat-ubatan melalui kaunseling, sama ada secara individu atau secara berkumpulan. 


“Ahli farmasi juga turut terlibat dalam membuat lawatan ke rumah pesakit atau ‘home visit’, di samping sesetengah farmasi komuniti juga turut menyediakan perkhidmatan tambahan seperti ujian paras gula dan kolesterol dalam darah serta pemeriksaan tekanan darah,” jelasnya lagi.


Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr Ismuni Bohari dan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFM), Amrahi Buang.

Tiada ulasan