Header Ads

test

KEDAH AEROTROPOLIS: PEMANGKIN UTAMA WILAYAH UTARA SEMENANJUNG



ALOR SETAR – Kedah Aerotropolis bakal menjadi katalis pembangunan paling utama Wilayah Utara Semenanjung dan juga kawasan segi tiga IMT-GT.

Menurut Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor, satu pintu masuk langsung antarabangsa baharu diwujudkan di Wilayah Utara Semenanjung melalui Kedah Aerotropolis yang menghubungkan kawasan itu kepada Asia Tenggara dan dunia untuk pertumbuhan masa depan.

Tambah beliau, pembangunan Kedah Aerotropolis termasuk Sidam Logistik Aerospace And Manufacturing (SLAM), dijangka bakal mewujudkan sebanyak 75,000 ke 80,000 peluang pekerjaan mahir yang berpendapatan tinggi.

“Hasil daripada lawatan kerja Kerajaan Negeri ke Farnborough International Airshow 2022 serta lawatan teknikal ke United Kongdom dan Luxembourg pada 18 hingga 28 Julai lalu, usaha promosi Kedah Aerortopolis telah berjaya menarik perhatian ramai penggiat industri antarabangsa,” ujar Sanusi dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Kedah Aerotropolis – “The Game Changer For The Northern Region” di Wisma Darul Aman, hari ini.

Jelasnya lagi, terdapat lebih 20 buah syarikat yang berminat untuk menjadi pelabur utama dalam projek ini dan KXP AirportCity telah melakukan proses senarai pendek syarikat yang berpotensi.

Muhammad Sanusi berkata Pembangunan Kedah Aerotropolis ini merangkumi logistik bersepadu serantau dan hab kargo pemindahan, penghantaran, penyelenggaraan, pembaikan, baik pulih serta pembuatan aeroangkasa serantau.

Pembinaan ini menurutnya akan meningkatkan lagi infrastruktur pengangkutan awam dengan terbinanya Lebuhraya Koridor Utara (NCH), pembukaan jajaran baru yang menghubungkan terus Lebuhraya Utara Selatan ke Kedah Aerotropolis, menaik taraf jalan utama Sungai Petani ke Kuala Ketil disamping pembinaan laluan kereta api berkembar dari Tasik Gelugor.

Menteri Besar turut mengalu-alukan penglibatan pusat-pusat pengajian tempatan untuk melatih anak muda dalam bidang pengajian atau kursus-kursus berkaitan aeroangkasa merangkumi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih kerana misi pembangunan Kedah Aerotropolis bukan tertumpu kepada operasi penerbangan semata-mata.

“Dengan menjadikan institusi pengajian sebagai pusat latihan  penerbangan dan aeroangkasa, ini membuka peluang kepada kita menyediakan tenaga mahir dalam usaha merealisasikan penubuhan Universiti Teknikal dengan bidang eroangkasa sebagai teras,” kata Sanusi.


#MediaMBKedah

#UrusSetiaPeneranganDarulAman

Tiada ulasan