Header Ads

test

LARANGAN SERTA MERTA MUDA MUDI WEEKND FEST - MB



ALOR SETAR - Penganjuran Muda Mudi Weeknd Fest yang melibatkan konsert hiburan sehingga mencetuskan kelakuan di luar tatasusila dilarang serta merta di seluruh Kedah.

Demikian kenyataan tegas Menteri Besar, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerusi laman facebooknya hari ini.

"Kejadian anak-anak muda yang menari terkinja-kinja tanpa arah dalam satu konsert di Balai Seni Alor Setar pada 1 Oktober lalu menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberikan ruang untuk membiak," ujarnya.

Tambah Muhammad Sanusi, penganjuran acara yang menyihatkan tubuh badan seperti yang selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka dan sesuai dengan tatasusila masyarakat tempatan adalah digalakkan.

Jelasnya lagi semua Pegawai Daerah yang mempengerusikan jawatankuasa berkaitan perlesenan hiburan telah dimaklumkan tentang hal ini dan arahan ini berkuatkuasa serta merta.

Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad, menjelaskan pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada pihak penganjur untuk mengadakan konsert dalam tentatif program itu.

"Lesen hiburan di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah Kota Setar. Pihak saya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara ini, termasuk memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan," katanya.


Tiada ulasan