Header Ads

test

YB ROMANI SARANKAN KERAJAAN TERAP HAK PENGGUNA SEJAK AWAL PERSEKOLAHAN



CHANGLUN - Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Romani Wan Salin mensarankan agar kerajaan menerapkan hak-hak kepenggunaan kepada golongan muda bermula daripada peringkat persekolahan.

Katanya, saranan ini bagi memberi pendedahan awal tentang kepenggunaan di dalam usaha melahirkan generasi pengguna yang cakna akan hak masing-masing di dalam transaksi jual beli, cakna akan undang-undang berkaitan perniagaan dan tahu saluran yang betul sekiranya ingin membuat aduan pengguna.

“Generasi baru ini perlu dilatih untuk lebih berani di dalam mempertahankan hak-hak pengguna. Mereka juga harus sedar bahawa suatu hari nanti, merekalah generasi yang mempunyai kuasa membeli dan mampu mempengaruhi permintaan serta penawaran sesuatu barangan atau perkhidmatan.

“Anda adalah kumpulan pengguna generasi baru yang mempunyai kuasa beli tersendiri dan berupaya mempengaruhi permintaan serta penawaran.

“Walaupun secara kasarnya dilihat seperti tidak mempunyai punca pendapatan seperti orang dewasa, namun saya percaya pelajar-pelajar sekalian sudahpun terdedah dengan pelbagai transaksi jual beli sama ada secara atas talian ataupun offline,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Penutup Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP-KPS) Tahun 2022 Peringkat Negeri Kedah di Kolej Matrikulasi Kedah di sini, pada Rabu.

Beliau yang juga merupakan ADUN Bukit Pinang menasihatkan agar setiap peringatan oleh pihak Kementerian atau pihak berwajib lain dapat diberikan keutamaan sewajarnya oleh pengguna supaya tidak terjerat dengan tawaran-tawaran yang kelihatan menarik tetapi sangat merugikan ini.

Jelasnya lagi, KPDNHEP turut melancarkan gerakan bagi membantu kerajaan menyampaikan pendidikan pengguna ke akar umbi antaranya, Gerakan Pengguna Daerah (GPD), Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP), Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO Kepenggunaan), Kelab Pengguna Sekolah (KPS) dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS).

“Apabila tiba masanya nanti, saya berharap supaya anda semua boleh menyertai gerakan-gerakan ini dan menyemarakkan semangat mempertahankan hak-hak pengguna untuk diri sendiri khususnya dan penduduk setempat secara amnya.

“Saya juga berharap penganjuran program seperti hari ini dapat sedikit sebanyak memberi maklumat berkaitan kepenggunaan dan ianya dapat disebar luas kepada orang lain,” katanya lagi.

Tiada ulasan