Header Ads

test

STEM DAPAT MEMACU PEMBANGUNAN NEGARA

 


ALOR SETAR - Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan suatu usaha bagi memastikan modal insan Sains Teknologi dan Inovasi yang berkemahiran tinggi dalam memacu pembangunan negara mendepani dunia Revolusi Industri 4.0.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penganjuran karnival itu dapat memberi pendedahan awal dan seterusnya menarik minat murid mengenai perkembangan teknologi terkini serta kerjaya berkaitan bidang STEM.

“Saya harap karnival ini dapat mewujudkan persaingan yang sihat dalam pelbagai aktiviti serta program yang telah dirancang,” ujar beliau ketika merasmikan Karnival STEM TS25 Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 2022 Dan Sambutan 100 Tahun Penubuhan Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma pagi ini.

Menurutnya, kerajaan negeri menyokong penuh usaha itu kerana bertepatan peranan untuk memastikan negara mempunyai bilangan siswazah STEM yang berkelayakan dan mencukupi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja industri.

Beliau berkata, pemilihan Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma sebagai sebuah sekolah pelaksana adalah satu pilihan yang tepat selaras dengan sambutan 100 tahun penubuhannya.

“Sejak penubuhannya 100 tahun yang lalu, sekolah ini telah berjaya melahirkan modal insan yang seimbang dalam aspek kurikulum mahupun kokurikulum.

“Tahniah kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Haji Rozaini Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Zuherly Zolkapali, Pengarah Pembangunan Bakat Murid seluruh warga Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah atas penganjuran Karnival Stem TS25 Peringkat Kebangsaan,” ujarnya.


Tiada ulasan