Header Ads

test

USUL PINDAAN AKAUN AMANAH TUNKU MAHMUD DILULUSKAN


ALOR SETAR – Usul Pindaan Akaun Amanah Tunku Mahmud di bawah Seksyen 9 Akta Acara Kewangan 1957 kepada Kumpulan Wang Amanah Tunku Mahmud Seksyen 10 Akta Acara Kewangan 1957 [Akta 61] telah diluluskan di Sidang DUN Bajet Negeri Kedah hari ini.

Menurut Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor akaun itu perlu dipinda kepada Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] berdasarkan teguran audit bagi penyata Kewangan Negeri Kedah Tahun 2019 yang menyatakan akaun amanah yang menerima peruntukan daripada kerajaan perlu diletakkan kepada Seksyen 10.

Jelasnya lagi, Akaun Amanah Tunku Mahmud diwujudkan pada tahun 2008 dan sumber kewangannya adalah daripada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan lain-lain sumbangan.

“Tujuannya bagi membantu rakyat negeri Kedah yang fakir miskin dan melaksanakan program dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Tabung ini juga sebagai bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa terkena musibah seperti banjir, ribut taufan dan kebakaran,” ujar Sanusi semasa membentangkan usul.

Pada masa yang sama, usul mewujudkan Kumpulan Wang Amanah Proses Istitabah Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman di bawah Seksyen 10 Akta Acara Kewangan 1957 [Akta 61] juga diluluskan.

“Istitabah bermaksud meminta mana-mana individu yang bercadang untuk keluar Islam atau mengamalkan cara hidup bukan Islam seperti menyembah berhala supaya bertaubat dan kembali berpegang kepada akidah islam dan menasihati mereka serta diberi ilmu Islam,” jelas Muhammad Sanusi.

Tambah beliau inisiatif itu diwujudkan untuk memperkanunkan terimaan wang daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah atau mana-mana sumbangan dari pihak lain.

Menteri Besar berkata kutipan digunakan untuk membayar kaunselor yang dilantik dan saguhati kepada pemohon selaras dengan Pekeliling Pembedaharaan Malaysia 10.4 Tatacara Pengurusan Akaun Amanah.


 

Tiada ulasan