Header Ads

test

MOU REE: LEMBARAN BAHARU TERCIPTA DI KEDAH



ALOR SETAR – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Menteri Besar Incorporated, Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd dan Xiamen Tungsten CO. LTD membuka lembaran baharu dalam sektor perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata REE merupakan sumber strategik dunia dan bakal memperoleh manfaat ekonomi untuk negeri Kedah daripada penerokaan itu.

“Apa yang saya faham dan tahu ialah perlombongan ini tidak ratakan bukit, tidak tebang pokok. Secara ringkas, perlombongan ini hanya masukkan paip-paip untuk cairkan REE dan REE mengalir keluar ikut daya tarikan graviti,” ujar beliau dalam majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Wisma Darul Aman hari ini.

Muhammad Sanusi juga menyeru semua pihak terutamanya pihak media agar memahami proses perlombongan REE dan menyebarkan maklumat yang tepat mengenainya.

Jelas beliau, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan perlu melakukan pemantauan bagi memastikan kegiatan itu dibuat mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Menteri Besar turut memaklumkan sehingga kini, beliau belum menerima prosedur operasi standard (SOP) perlombongan REE daripada Kementerian Sumber Asli dan berharap ia dikeluarkan segera bagi melancarkan proses perlombongan.

Kegagalan mengumumkan SOP menyebabkan kerugian besar kepada negeri yang berminat meneroka REE secara sah.

"Saya harap perkara ini dapat perhatian dan Kedah berharap dapat memaksimumkan pendapatan melalui aktiviti ini dan industri hiliran dapat dibangunkan secara teratur," katanya.


#MediaMBKedah
#UrusSetiaPeneranganDarulAman

 

Tiada ulasan