LANGKAWI SEMAKIN POPULAR SETELAH TULAR ISU 'PEKAN HANTU' ALOR SETAR – Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan hari ini m...
LANGKAWI SEMAKIN POPULAR SETELAH TULAR ISU 'PEKAN HANTU' ALOR SETAR – Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan hari ini menyifatkan tindakan beberapa pihak yang membawa cerita-cerita kurang menarik mengenai Pulau Langkawi kononnya Langkawi telah menjadi 'pekan hantu' disebabkan ketiadaan pengunjung akhirnya memakan diri. YB Dato' Haji Mohd Saleh Saidin berkata, berita-berita buruk tersebut menjadi punca utama menarik lebih ramai pelancong ke sana. "Jika ada pihak yang mahu merosakkan reputasi Langkawi dengan cerita-cerita buruk, mereka kini boleh menghantuk kepala ke dinding kerana tindakan mereka rupa-rupanya telah menyebabkan Langkawi menjadi lebih popular. "Tahun ini, Langkawi menjadi tuan rumah dua acara antarabangsa, iaitu Langkawi International Maritime and Exhibition (LIMA) dan Ironman Malaysia. Lada turut mempromosikan Langkawi melalui sembilan program, antaranya ITB Berlin Jerman, Routes Asia Chiangmai Thailand serta Tourism Expo Japan," jelas beliau. Beliau berkata demikian ketika Perbahasan Bajet 2024 Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Ke-15 di Wisma Darul Aman. Bagaimanapun, beliau menjelaskan pihak kerajaan negeri akan menjalankan usaha berterusan bagi memastikan Langkawi kekal menjadi antara destinasi utama pilihan pelancong di rantau ini. "Sehingga September, 23 FAM Trip dianjurkan, antaranya FAM Trip Penggambaran Al-Jazeera, FAM Trip James Magazine dari Italy, FAM Trip Pengusaha Pelancongan & Influencer dari Guilin, China serta FAM Trip Youtuber & Tiktokers Malaysia ke Langkawi. "Bagi mengangkat lagi sektor pelancongan dan ekonomi Langkawi, Jaringan pengangkutan semakin positif dengan adanya penerbangan berjadual bermula Februari tahun depan, iaitu dari Dubai, UAE serta Kuala Namu, Indonesia pada Mac," ujarnya lagi. Tambahnya, sebanyak 21 kapal persiaran (cruise) yang berlabuh tahun ini, bermula November dan Disember, Langkawi akan menerima 14 kapal persiaran di Langkawi Cruise Terminal (LCT) dengan anggaran lebih 20,000 pelancong. Manakala, pada tahun hadapan dijangka 18 kapal persiaran berlabuh dalam Januari hingga Mei. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #sidangbajetkedah2024 #sidangDUN -UPDA 11/29/2023, 12:23:24 PM
Post a Comment