Header Ads

test

KEDAH SEDIA TERAJUI AGENDA KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA

ALOR SETAR – Kerajaan negeri bersedia memimpin agenda keterjaminan makanan dengan kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan.
Menurut Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kerjasama itu bagi meningkatkan produktiviti padi dan mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber makanan yang diimport.
“Negeri Kedah yang digelar sebagai Jelapang Padi Negara kini menyumbang lebih 40 peratus kepada keperluan beras negara dengan pengeluaran beras di negeri Kedah mencapai hampir 1.0 juta tan metrik setiap tahun.
“Pelaksanaan inisiatif penanaman padi lima (5) kali dalam dua (2) tahun disasarkan dapat meningkatkan pengeluaran padi sebanyak 25 peratus berbanding pengeluaran sekarang,” jelasnya.
Tambahnya, jika usaha ini dapat direalisasikan sepenuhnya, ia akan meningkatkan pengeluaran padi negeri Kedah kepada 1.25 juta tan metrik setiap tahun tanpa perlu kepada perluasan kawasan tanaman baharu.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan berharap agar agenda ini dijadikan agenda nasional serta mendapat perhatian di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13),” ujarnya.
Beliau berkata demikian sewaktu Program Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Negeri Kedah Darul Aman di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar.
“Selain membantu negara mengukuhkan keterjaminan makanan, inisiatif ini turut dijangka memberi manfaat dari segi peningkatan pendapatan kepada hampir 60 ribu orang pesawah di Kedah yang rata-ratanya adalah berpendapatan rendah.
Jelasnya, usaha-usaha keterjaminan makanan perlu ditangani dengan sebaik-baiknya kerana makanan adalah keperluan asas setiap yang hidup.
“Ini kerana dunia sedang beranjak kepada kekurangan sumber makanan berbanding pertambahan populasi yang besar, yang jika tidak ditangani akan mencetuskan masalah kelangsungan hidup manusia di bumi ini pada masa akan datang,” jelasnya.
Sanusi berkata, walaupun negeri Kedah secara tradisinya merupakan negeri berasaskan pertanian, sektor pembuatan merupakan sektor ekonomi kedua terbesar selepas sektor perkhidmatan di Kedah dengan peratusan sumbangan sebanyak 29.2 peratus pada KDNK Kedah tahun 2023.
“Kerajaan Negeri Kedah sentiasa komited dengan perancangan pembangunan demi memastikan pencapaian ekonomi, sosial dan infrastruktur yang seimbang dapat dinikmati oleh rakyat di negeri ini.
“Saya amat berharap kerjasama yang erat dapat terus dijalinkan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan demi mencapai kesejahteraan bersama khususnya melibatkan rakyat dan negeri Kedah,” ucapnya.

 

Tiada ulasan