Header Ads

test

MTSD BUKTI KOMITMEN KEDAH DALAM PENDIDIKAN ISLAM

KULIM – Komitmen Kerajaan Negeri Kedah dalam mengembalikan hala tuju pendidikan berasaskan konsep Islam yang sebenar kini terbukti melalui penyerahan projek Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD).
Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Maahad Tahfiz Sains Darul Aman merupakan institusi yang telah digagaskan oleh Mantan Menteri Besar Kedah, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.
“MTSD adalah Sekolah Menengah Agama Negeri aliran tahfiz milik penuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.
“Dan kini beroperasi di bawah pentadbiran Lembaga Maktab Mahmud,” katanya.
Tambahnya, MTSD pada awalnya dicadangkan di Pulau Tuba, Langkawi dan kemudiannya berpindah tapak pembinaan dan pengubahsuaian bangunan di Jalan Pegawai, Kulim.
“Pelaburan dalam Pendidikan Islam dan Sains adalah satu langkah penting membentuk generasi berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab kepada agama dan negara,” jelasnya.
Jelasnya lagi, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memastikan Pendidikan Islam yang berkualiti serta relevan dengan kehendak semasa, MTSD telah menerapkan pendidikan berteraskan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
“Majlis penyerahan hari ini melambangkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan seimbang duniawi dan ukhrawi,” ucapnya.
Beliau berkata sedemikian sewaktu Majlis Penyerahan Projek Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Jalan Pegawai, Kulim.
Katanya, semua pihak diharapkan dapat bersama-sama memberi lorongan jalan yang mudah serta memberi komitmen sepenuhnya terhadap projek-projek yang membawa ke arah kebaikan seperti ini.
“Semoga dengan adanya maahad ini, lebih ramai generasi huffaz dapat dilahirkan, bukan sekadar menghafal Al-Quran, malah mampu memahami, menghayati dan melaksanakan kandungannya,” ujarnya.

Tiada ulasan