Header Ads

test

WORLD QURAN HOUR: HAYATI DAN LAKSANAKAN TUNTUTAN AL-QURAN


ALOR SETAR – Kempen World Quran Hour bukan sekadar menggalakkan bacaan al-Quran, tetapi turut menekankan kepentingan mengamalkan tuntutan al-Quran dalam kehidupan seharian, merangkumi aspek diri, keluarga, masyarakat, dan negara.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kempen ini merupakan suatu inspirasi untuk meningkatkan potensi diri berlandaskan al-Quran.
“World Quran Hour merupakan sebahagian daripada jihad kita untuk mengukuhkan kembali hubungan umat Islam dengan al-Quran agar menjadi umat yang bersatu dan berpegang teguh dengan ajaranNya,” katanya.
Tambahnya, #SavingTheUmmah merupakan tema World Quran Hour pada tahun ini yang dipilih daripada Surah as-Saff sebagai pedoman.
“Sempena World Quran Hour, surah yang dipilih ialah Surah as-Saff.
“Baca, faham dan berpegang teguh. Zaman ini zaman kita kena genggam Islam sungguh-sungguh, jangan takut, jangan bimbang, berjihadlah!” tegasnya.
Jelasnya, Kedah sebagai negeri yang kaya dengan sejarah keilmuan dan warisan Islam perlu menjadi contoh dalam memastikan al-Quran bukan sekadar dibaca tetapi turut diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Program ini diharapkan dapat menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa al-Quran adalah pedoman yang harus diamalkan dalam setiap keputusan dan tindakan kita.
“Kita harus mengambil peluang dalam era digital untuk memastikan penyebaran ilmu al-Quran lebih meluas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Perasmian World Quran Hour Peringkat Negeri Kedah tahun 2025 di Maktab Mahmud Alor Setar, Alor Setar.
“Semoga usaha ini diterima sebagai amal soleh dan menjadi pencetus kepada lebih banyak program yang mengangkat al-Quran dan tuntutannya untuk menjadi pedoman dalam kehidupan,” ucapnya.

Tiada ulasan