KENYATAAN BERKAITAN KEMALANGAN BAS MELIBATKAN PELAJAR UPSI
Kita semua berasa amat sedih dan turut bersimpati dengan insiden kemalangan bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini berhampiran kawasan Banding, Perak. Difahamkan, kemalangan tersebut melibatkan seramai 44 orang pelajar, dan seramai 15 mangsa telah disahkan meninggal dunia dalam kemalangan tersebut. Turut terlibat dalam insiden itu ialah sebuah kenderaan Perodua Alza yang membawa seisi keluarga.
Berita menyayat hati ini benar-benar memberi kesan yang mendalam kepada rakyat di Negeri Kedah. Walaupun terdapat pengakuan daripada pemandu bahawa brek bas tersebut gagal berfungsi, kejadian ini tetap menjadi satu peringatan penting buat kita semua agar lebih berwaspada di masa akan datang.
Dalam masa yang sama, kita tidak boleh menafikan bahawa terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan ini. Salah satu faktor utama adalah keadaan jalan raya di laluan berkenaan yang perlu dinaik taraf segera. Jalan ini merupakan laluan penting yang menghubungkan Pantai Timur dengan kawasan utara seperti Kedah dan Perlis. Namun begitu, saban tahun terutamanya ketika musim perayaan, laluan ini mengalami kesesakan yang teruk, menjadikan perjalanan 4 hingga 5 jam memakan masa sehingga 8 ke 9 jam.
Melalui tinjauan, kita dapati keadaan jalan ini masih banyak kelemahan – antaranya kekurangan lorong memotong, keadaan permukaan jalan yang tidak rata, serta kerosakan jalan seperti lubang dan sistem pencahayaan yang tidak mencukupi. Semua ini menyumbang kepada risiko kemalangan. Sudah sampai masanya kerajaan meneliti keperluan menaik taraf jalan ini untuk keselesaan dan keselamatan pengguna.
Selain itu, saya ingin mencadangkan agar satu pasukan bomba dan penyelamat diwujudkan secara tetap di kawasan Banding. Kawasan ini merupakan laluan mendaki dan berbukit, dan juga berhampiran dengan kem tentera, kawasan rekreasi, serta penempatan. Menubuhkan pasukan penyelamat tetap di situ – lengkap dengan ambulans akan membolehkan bantuan kecemasan tiba lebih pantas sekiranya berlaku sebarang insiden. Ketika ini, bantuan perlu datang dari Gerik atau Jeli yang jaraknya agak jauh dan memerlukan masa yang Panjang untuk tiba dikawasan kemalangan.
Penempatan pasukan penyelamat ini akan memberi keyakinan kepada pengguna jalan raya – bukan sahaja penduduk tempatan, tetapi juga pelancong termasuk warga asing – yang menggunakan laluan ini untuk tujuan pelancongan mahupun perhubungan antara negeri.
Kita berharap pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kerja Raya dan agensi berkaitan, memberi perhatian yang serius terhadap isu ini demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Post a Comment