Header Ads

test

200 RIBU BENIH UDANG DILEPASKAN DI SUNGAI KEDAH

ALOR SETAR - Sebanyak 200,000 ekor benih udang galah dilepaskan ke dalam Sungai Kedah sebagai usaha kerajaan negeri Kedah memulihara sumber perikanan darat serta memperkukuh ekosistem akuatik tempatan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, YB Haji Dzowahir Haji Ab Ghani, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program berterusan oleh Jabatan Perikanan Negeri Kedah, di mana sebanyak 1,662,000 ekor benih udang galah, ikan lampam, ikan baung dan ikan terbul telah dilepaskan di sungai-sungai terpilih di seluruh negeri Kedah.
Jelasnya lagi, usaha ini bagi menambah baik sumber rezeki komuniti nelayan darat serta mewujudkan ekosistem sungai yang lebih seimbang dan produktif.
"Kerajaan negeri Kedah amat menyedari bahawa sektor perikanan termasuklah perikanan darat memainkan peranan penting dalam memastikan sektor makanan negara kekal mampan dan berdaya saing," ujarnya ketika merasmikan Majlis Pelepasan Benih Udang Galah ke Perairan Umum Sungai Kedah, di sini, hari ini.
Tambahnya, masyarakat setempat, para nelayan darat dan pemancing rekreasi diseru agar mengamalkan penangkapan berhemah dan mengelakkan penggunaan bahan terlarang seperti racun, tuba, atau kejutan elektrik yang boleh menjejaskan kehidupan akuatik.
Katanya, usaha ini perlu kepada pemantauan berterusan, penyelidikan saintifik dan pendidikan kesedaran awam supaya keberkesanannya dapat diukur dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
"Saya ingin menegaskan bahawa kejayaan program seperti ini hanya akan dapat dicapai dengan sokongan dan kesedaran masyarakat.
"Kita perlu memastikan sungai dan perairan umum sentiasa dijaga daripada sebarang bentuk pencemaran dan aktiviti tidak bertanggungjawab," ujar beliau.

Tiada ulasan