Header Ads

test

ADUAN BANJIR LUMPUR DI TAMAN EKO RIMBA ULU PAIP: TIADA ALIRAN LUMPUR DIKESAN


KULIM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mendapati tiada tanda aliran lumpur dikesan di sepanjang tebing sungai berhubung aduan banjir lumpur di sekitar Taman Eko Rimba Ulu Paip.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, aduan tersebut membabitkan dakwaan berlakunya banjir kilat dan lumpur di kawasan hilir Sungai Karangan pada 23 Oktober, yang didakwa berpunca daripada aktiviti ladang hutan di Kompartmen 15, Hutan Simpan Gunung Bongsu.
Menurutnya, siasatan dilakukan melibatkan aliran sungai di dalam Taman Eko Rimba Ulu Paip serta beberapa kampung di bahagian hilir, termasuk Kampung Ulu Paip, Kampung Karangan, Kampung Seberang Jaya, Kampung Padang Limau, Kampung Jangkang, Kampung Marryland dan Kampung Batu Puteh.
“Siasatan awal dilakukan susulan laporan yang diterima melalui Sistem e-Aduan pada 15 November.
“Hasil pemeriksaan mendapati aliran sungai dalam taman eko rimba sedikit keruh dan agak laju berikutan hujan pada malam sebelumnya dan awal pagi, namun tiada tanda aliran lumpur dikesan di sepanjang tebing sungai.
“Pemantauan juga menunjukkan kehadiran pengunjung sedang beriadah dan mandi-manda.
Di perkampungan hilir sungai pula menunjukkan aliran sungai berada dalam keadaan biasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, berdasarkan maklumat penduduk mengesahkan berlaku kejadian banjir lumpur sekitar Oktober dan beberapa rumah turut terjejas.
“Namun pada hari siasatan dilakukan, kawasan kampung didapati telah pulih sepenuhnya tanpa kesan ketara aliran lumpur atau tanah,” ujarnya.
Tambah beliau, siasatan susulan akan diteruskan bersama Jabatan Perhutanan Malaysia dan agensi berkaitan di kompartmen hutan yang dilaporkan.
“Tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan terperinci yang akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya.

Tiada ulasan