PROJEK PERINTIS ALTER@KOMUNITI DINAIK TARAF, DIPERLUAS KE 21 MUKIM SELURUH KEDAH
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, projek tersebut diwujudkan susulan keputusan mesyuarat pada Ogos 2023 dengan memfokus kepada integrasi rawatan pemulihan dan penguatkuasaan lebih berkesan.
“Melihat kejayaan dan impak positif pelaksanaan ini yang diukur sejak 2024, saya berbesar hati kerana program ini telah dinaik taraf menjadi versi dipertingkat (upgraded version) dan kini diperluas ke seluruh daerah pada tahun ini, melibatkan 21 mukim di Kedah,” titah Baginda.
Tengku Sarafudin bertitah ketika merasmikan Seminar Menangani Gejala Dadah dan Hari Apresiasi Kepulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2025 di sini, hari ini.
Hadir sama mengiringi Baginda, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Baginda bertitah, perluasan program tersebut merupakan manifestasi keprihatinan terhadap isu penyalahgunaan dadah, selain usaha memperkukuhkan aspek rawatan pemulihan, pencegahan dan penguatkuasaan secara lebih terancang dengan sokongan kerjasama pelbagai pihak.
“Melalui pelaksanaan ALteR@Komuniti di mukim Naga, Kubang Pasu, kita dapat melihat perubahan positif. Data Maklumat Klien menunjukkan keberkesanan program rawatan dan pemulihan dalam komuniti semakin kukuh.
“Peningkatan kumulatif sebanyak 27.49 peratusan dalam tiga tahun membuktikan intervensi komuniti secara bersepadu melibatkan pelbagai kluster seperti keselamatan, sosial, kesihatan dan pendidikan membuahkan hasil,” titah Baginda lagi.
Raja Muda Kedah turut menyeru agar hasil progres terkini inisiatif anti-dadah termasuk kadar kepulihan, bilangan penyalah gunaan dan tangkapan Orang Yang Disyaki (OYDS) terus diselaraskan dalam pelaporan ‘The Greater Kedah’ di bawah Teras Keterangkuman Sosial dan Budaya: Pengurangan Penyalahgunaan Dadah.
“Bagi memastikan matlamat Dadah Terkawal 2030 tercapai, pendekatan kawalan dan pemulihan di negeri ini wajib dipertingkatkan dengan tumpuan jangka panjang.
“Tindakan ini akan memastikan inisiatif anti-dadah diberi keutamaan dalam pembangunan negeri, membolehkan kita menggunakan hasil perbincangan dan data diperolehi sebagai asas kukuh untuk perancangan strategik dan pengagihan sumber pada masa hadapan,” titah Baginda.
Tengku Sarafudin bertitah, data Januari hingga September tahun ini menunjukkan Kedah antara empat negeri tertinggi dalam negara dengan kadar prevalens melebihi purata nasional.
“Seramai 17,733 orang penagih dan penyalahguna dikesan daripada 2.22 juta populasi rakyat Kedah, bersamaan 800 penagih bagi setiap 100,000 penduduk (0.80%).
“Daerah Pendang mencatatkan kadar penagih dan penyalahguna tertinggi bagi daerah di Malaysia iaitu seramai 1,487 penagih dan penyalahguna bagi setiap 100,000 penduduk.
Majoriti individu yang terjerumus dalam penagihan dadah terdiri daripada golongan berumur antara 18 hingga 39 tahun,” titah Baginda.

Post a Comment