Header Ads

test

KERAJAAN PERSEKUTUAN WAJAR IKTIRAF HAK KEDAH TERHADAP PULAU PINANG


ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan wajar mengiktiraf hak Kedah terhadap Pulau Pinang yang dipajak secara rasmi bagi menegakkan kebenaran sejarah selain memastikan hak negeri ini tidak terus dipinggirkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad berkata, kerajaan negeri juga wajar diberikan ruang untuk meneliti semula kadar pajakan agar selaras dengan kedudukan sejarah dan hak negeri.
"Usaha melantik peguam untuk meneliti isu itu dari sudut perundangan menunjukkan kesungguhan luar biasa kerajaan negeri dalam memperjuangkan hak negeri Kedah secara profesional dan berprinsip.
"Setiap kerajaan sebelum ini pernah menyuarakan tuntutan terhadap hak-hak negeri namun inilah kali pertama ia digerakkan secara serius melalui lantikan pengkaji sejarah dan peguam bagi membawa isu ini ke mahkamah," katanya ketika sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas komitmen menjunjung titah Sultan Kedah dalam isu pampasan Pulau Pinang yang sedang dilaksanakan dengan baik oleh kerajaan negeri.
“Saya menyokong penuh usaha kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar dalam memastikan hak negeri dipertahankan secara berfakta dan teratur,” katanya.
Abdul Ghafar yakin langkah berani itu akan membuahkan hasil dan membuka ruang kepada pengiktirafan rasmi bahawa Pulau Pinang adalah tanah milik Kedah yang dipajak sebagaimana tercatat dalam rekod sejarah.
Beliau turut mencadangkan agar negeri-negeri mewujudkan platform khas bagi membincangkan hak-hak negeri tanpa penglibatan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan perbincangan lebih jujur dan bebas daripada pengaruh politik Pusat.
“Hasil daripada perbincangan platform berkenaan boleh dibawa ke Majlis Raja-Raja atau Mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri untuk pertimbangan lanjut.
“Sebagai permulaan, Kedah boleh memulakan kerjasama dengan negeri-negeri dalam kumpulan SG4, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu serta Wilayah Borneo untuk memperjuangkan agenda desentralisasi kuasa daripada Persekutuan ke negeri.
"Biar usaha ini tidak berlaku secara terpisah antara negeri, sebaliknya menjadi gerakan bersama yang tersusun untuk memperkukuh kedudukan negeri dalam kerangka Persekutuan Malaysia," katanya.
Abdul Ghafar berkata, sekiranya semua negeri bersatu memperjuangkan hak masing-masing dengan semangat muafakat, usaha itu pasti akan membuahkan hasil.
"Bak kata orang tua-tua, bersatu teguh bercerai roboh. Jika negeri-negeri secara bersama menuntut hak dan dapat dipulihkan, Insya-ALLAH kita akan melihat hasilnya dalam masa terdekat," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Ghafar turut menyentuh mengenai keperluan negeri-negeri lain untuk bersatu menuntut hak masing-masing secara tersusun serta menyeluruh sejajar dengan semangat Persekutuan Malaysia.
“Momentum positif yang ditunjukkan oleh Sabah dalam kejayaan menuntut semula 40 peratus hasil negeri daripada Kerajaan Persekutuan wajar dijadikan teladan oleh negeri lain termasuk Kedah.
"Usaha tuntutan hak negeri perlu dilakukan secara konsisten dan dirancang rapi, dengan sokongan rakyat serta masa yang sesuai. Inilah kunci kejayaan di Sabah," katanya.

Tiada ulasan