GENERASI BERILMU, BERAKHLAK JAYAKAN THE GREATER KEDAH - HAIM HILMAN
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerosakan yang berlaku di dunia hari ini bukan kerana kekurangan ilmu, sebaliknya akibat ilmu yang tidak disertai akhlak dan rasa takut kepada ALLAH SWT.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, oleh itu generasi yang berilmu dan berakhlak amat diperlukan dalam memastikan agenda The Greater Kedah dapat direalisasikan.
“Kita mesti bermula dengan asas paling penting iaitu pegangan agama yang kukuh. Dunia bukan bermasalah dengan orang yang tidak berpelajaran, tetapi dengan mereka yang berilmu, memiliki pengetahuan dan teknologi, namun menggunakannya untuk kekerasan dan kekejaman,” katanya.
Menurut beliau, pelbagai bentuk kezaliman, kekejaman dan penindasan yang berlaku ketika ini berpunca daripada golongan berilmu yang gagal menjadikan nilai agama sebagai panduan.
“Ilmu tanpa iman dan akhlak hanya membawa kerosakan. Ini peringatan besar kepada kita bahawa ilmu mesti dipandu iman. Dalam konteks umat Islam, kita mesti sentiasa berpaut kepada ALLAH SWT dan menjadikan setiap tindakan sebagai ibadah bagi mencari keredaan-Nya.
“Al-Quran dan Sunnah adalah panduan merentasi semua generasi sama ada Gen Y, Gen Z atau Gen Alpha. Jika kita berpegang teguh kepada dua sumber ini, kita akan selamat menghadapi cabaran zaman,” ujarnya.
Haim Hilman tegaskan, generasi berilmu dan berakhlak diyakini mampu menjayakan impian Kedah melalui gagasan The Greater Kedah meskipun negeri ini tidak sebesar negeri lain dari segi kekayaan.
“Kita tidak bercakap tentang pilihan raya akan datang, tetapi tentang generasi akan datang. Dalam tempoh 25 tahun, kita merancang melonjakkan Kedah menjadi negeri maju dengan pertumbuhan ekonomi jauh lebih tinggi berbanding hari ini,” katanya.
Menurut beliau, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah ketika ini sekitar RM54 bilion dan negeri itu menyasarkan peningkatan kepada RM576 bilion dalam tempoh 25 tahun akan datang.
Bagaimanapun katanya, kejayaan gagasan tersebut tidak bergantung kepada kepimpinan hari ini semata-mata, sebaliknya kepada generasi muda yang bakal menyambung perjuangan.
“Kami hanya memulakan larian. Suatu hari nanti baton kepimpinan akan diserahkan kepada generasi muda. Ketika itu kalian mesti berlari lebih laju, lebih jauh dan lebih berani daripada kami dengan ilmu, akhlak dan kepimpinan berteraskan nilai agama,” katanya.
Beliau turut tegaskan, kepelbagaian kaum bukan alasan untuk membina tembok pemisah, sebaliknya peluang membina jambatan perpaduan.
“Generasi muda yang ada hari ini yang akan menyatukan, membela semua dan memimpin masyarakat majmuk dengan adil serta berintegriti. Pemimpin yang kita perlukan ialah pemimpin yang menyatukan, bukan memisahkan,” jelasnya.
Beliau menitipkan pesanan itu pada Program MINDA KHALIFAH: Pathway to The Greater Kedah yang menghimpunkan kepimpinan utama anak Kedah di universiti-universiti seluruh negara.
“Dengan pegangan agama yang kukuh, akhlak tinggi dan visi jelas, insya-ALLAH, Kedah akan menjadi negeri yang aman, makmur dan contoh kepada Malaysia keseluruhannya,” kata Haim Hilman.
Program berkenaan menjadi medan pembinaan kepimpinan menyeluruh melibatkan pengukuhan hala tuju organisasi, pembinaan jati diri, latihan komunikasi strategik serta pendedahan kepada ekosistem industri berteknologi tinggi selaras aspirasi The Greater Kedah.
Peserta turut mengikuti latihan Qudwah Leadership, bengkel pembinaan takwim tahunan, pembentangan kertas kerja berimpak, latihan pengucapan awam serta Outdoor Leadership Expedition yang menguji daya tahan, disiplin dan semangat kerja berpasukan.
Kemuncak program menyaksikan penyerahan 50 kertas kerja berimpak tinggi sebagai pelan tindakan untuk digerakkan di lapangan, sekali gus membuktikan MINDA KHALIFAH berupaya melahirkan pelaksana yang mampu merancang, memimpin dan menyumbang kepada pembangunan negeri.

Post a Comment