RAMADAN JADIKAN PENJAWAT AWAM LEBIH BERETIKA, BERINTEGRITI - SANUSI
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Ramadan bukan sekadar meningkatkan ibadah peribadi, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam etika kerja, ketelusan dan tanggungjawab pentadbiran penjawat awam.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setiap jawatan adalah amanah dan setiap keputusan yang dibuat memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Ramadan sepatutnya menjadikan penjawat awam lebih telus dalam tindakan, lebih jujur dalam urusan, lebih lembut dalam layanan dan lebih takut untuk mengkhianati amanah.
“Mempercepatkan urusan rakyat adalah amal. Menolak rasuah adalah jihad. Melaksanakan tugas dengan ikhlas adalah ibadah,” katanya ketika merasmikan Program Tanwir Ramadan 1447H/2026M Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, di Dewan Sri Mentaloon, hari ini.
Program bertemakan ‘Ramadan Infiniti: Amal Tanpa Henti, Jiwa Terinspirasi’ itu merupakan penganjuran kali ke-10 tahun ini.
Sanusi berkata, sekiranya roh Ramadan benar-benar meresap dalam jiwa penjawat awam, negeri ini bukan sahaja akan memiliki pentadbiran yang cekap, malah warga kerja yang berjiwa, berintegriti dan berteraskan nilai ihsan.
“Negeri yang hebat bukan hanya dibina dengan jalan raya dan bangunan pencakar langit. Negeri yang diberkati dibina dengan manusia yang hatinya hidup, akhlaknya mulia dan amanahnya terpelihara,” ujarnya.
Mengulas tema ‘Ramadan Infiniti’, beliau berkata, ia membawa maksud roh Ramadan yang melangkaui sempadan masa dan tidak terhenti dalam tempoh 30 hari semata-mata.
“Ramadan bukan sekadar bulan ibadah yang hadir dan pergi dalam pusingan waktu. Ia adalah gelombang cahaya Ilahi yang datang menyucikan jiwa, menjentik hati yang lalai dan membangunkan insan daripada kelekaan duniawi.
“Puasa fizikal mendidik nafsu, manakala penghayatan nilai Ramadan mendidik kita menundukkan kezaliman dalam diri. Kita dilatih menahan diri daripada yang halal pada siang hari dan menjadi lebih tegar meninggalkan yang haram,” katanya.
Sanusi menyifatkan Ramadan sebagai ‘universiti rohani’ yang melahirkan insan berintegriti, berakhlak dan sentiasa tunduk kepada Ilahi.
Mengulas frasa ‘Amal Tanpa Henti’, katanya, Ramadan mengajar bahawa kebaikan tidak mengenal musim dan setiap detik adalah peluang menanam pahala.
“Setiap senyuman adalah sedekah. Setiap kesulitan yang kita mudahkan untuk orang lain adalah jambatan menuju rahmat ALLAH SWT. Amal bukan hanya di sejadah, tetapi di pejabat, di jalan raya, di rumah, dalam keputusan, dalam kata-kata dan dalam layanan sesama manusia.
“Konsisten dalam kebaikan, berterusan dalam keikhlasan, istiqamah dalam pengabdian,” jelasnya.
Sementara itu, menurut Sanusi, konsep ‘Jiwa Terinspirasi’ merujuk kepada jiwa yang disinari kesedaran Ilahi, tidak hanyut dalam kelalaian dan memahami tujuan hidup sebenar.
“Ramadan melembutkan hati yang keras, membuka pintu taubat seluas langit dan bumi serta meniup roh harapan kepada insan yang hampir tenggelam dalam dosa.
“Jiwa yang terinspirasi ialah jiwa yang rindu kepada al-Quran, takut untuk menzalimi, ringan untuk memberi dan tenang dalam mengingati ALLAH SWT. Inilah jiwa yang akan melahirkan masyarakat penuh belas ihsan, kepimpinan penuh hikmah dan negeri yang disinari keberkatan,” katanya.
Beliau berharap program berkenaan bukan sekadar menjadi acara tahunan, sebaliknya dihayati sepenuhnya dan mencetuskan perubahan berkekalan dalam kehidupan setiap penjawat awam di negeri ini.
“Semoga Ramadan bukan sekadar singgah, tetapi meninggalkan kesan mendalam dalam diri kita semua, menjadikan kita insan yang beramal tanpa henti dan jiwa yang sentiasa terinspirasi untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT,” katanya.

Post a Comment