MASJID, SURAU PERLU BEBAS UNSUR POLITIK: RAJA MUDA KEDAH
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Semua bentuk pengisian agama di masjid dan surau di negeri Kedah tertakluk sepenuhnya kepada peraturan, garis panduan serta kebenaran yang ditetapkan pihak berkuasa agama negeri tanpa sebarang pengecualian.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, ketetapan itu dilaksanakan secara adil, konsisten dan saksama tanpa mengira jawatan, kedudukan atau latar belakang mana-mana individu atau pihak.
Baginda yang merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) bertitah, langkah tersebut penting bagi memelihara kemuliaan masjid dan surau selain menjaga kewibawaan institusi agama Islam di negeri ini.
“Tiada mana-mana individu atau pihak dikecualikan daripada pematuhan peraturan ini. Ketetapan ini dilaksanakan demi memelihara kemuliaan masjid serta kewibawaan institusi agama Islam di Kedah,” titah baginda menerusi kenyataan akhbar, hari ini.
Tengku Sarafudin Badlishah bertitah, pemisahan yang jelas antara ruang ibadah dan ruang politik amat penting bagi menjamin keharmonian masyarakat serta mengelakkan agama Islam dieksploitasi sebagai alat legitimasi atau propaganda kepentingan tertentu.
Baginda jelaskan, ketetapan itu selaras dengan titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, selaku Ketua Agama Islam Negeri Kedah, pada 19 Julai 2023 yang menegaskan masjid dan surau hendaklah dipelihara kesuciannya serta kekal bebas daripada sebarang unsur perpecahan dan kepentingan politik kepartian.
Titah Raja Muda Kedah lagi, MAIK akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, berlandaskan hukum syarak, undang-undang serta Perlembagaan Negeri Kedah demi memastikan kestabilan, keharmonian dan perpaduan ummah di negeri ini sentiasa terpelihara.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai surat penolakan program ceramah di sebuah masjid yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).
Surat bertarikh 22 Januari daripada Pejabat Agama Daerah Kota Setar itu melibatkan program ceramah persiapan Ramadan yang menjemput Exco Agama Kedah, ia menyatakan tidak membenarkan penceramah hadir menyampaikan ceramah pada 26 Januari.
Dalam pada itu, Tengku Sarafudin Badlishah menitahkan agar sebarang tohmahan atau fitnah yang disebarkan melalui apa jua medium bagi menjejaskan imej JHEAIK dan MAIK adalah tidak wajar serta perlu dihentikan serta-merta.
“MAIK memandang serius isu ceramah berunsurkan politik di masjid. Penolakan tersebut dibuat berasaskan pekeliling sedia ada dan tindakan sewajarnya telah pun diambil.
“Diharap perkara seumpama tidak berulang pada masa hadapan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran,” titah baginda.

Post a Comment